Selangor terus komited pulihara khazanah warisan negeri – Exco

Selangor terus komited pulihara khazanah warisan negeri – Exco

BANTING,. Selangor komited untuk memulihara dan memelihara khazanah warisan negeri sekali gus memacu sektor pelancongan, kata Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Borhan Aman Shah.

Beliau berkata usaha berkenaan sebagai langkah memastikan khazanah warisan kekal dinikmati oleh generasi akan datang.

Menurut Borhan dalam usaha memastikan agenda itu berjaya, kerajaan negeri akan mewartakan beberapa bangunan dan lokasi bersejarah di Selangor antaranya Istana Bandar di Jugra, Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh dan kapal korek bijih timah di Dengkil.

“Aset warisan seperti Istana Bandar amat penting sebagai produk pelancongan negeri ini. Oleh itu, permohonan kita (Kerajaan Selangor) juga telah diluluskan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memulihara istana lama ini.

“Proses baik pulih (termasuk kajian kerosakan dan kerja-kerja penyediaan Pelan Pengurusan Pemuliharaan) ini akan mengambil masa tiga atau empat tahun sebelum istana itu boleh dilawati pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Jejak Warisan Merdeka di Istana Bandar di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Sementara itu, Mohd Yusri ketika berucap pada majlis sama berkata pihak MOTAC memandang serius usaha pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan.

“MOTAC telah meluluskan permohonan Kerja-Kerja Pemuliharaan Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) di bawah peruntukan Pemerkasaan Sektor Pelancongan dan Kebudayaan dan Warisan 2022 sebanyak RM350,000 untuk Istana Bandar.

“Selain itu, MOTAC juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM420,000 untuk kajian kerosakan dan kerja-kerja penyediaan Pelan Pengurusan Pemuliharaan untuk Istana Bandar,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Borhan turut melancarkan buku ‘Pemetaan Warisan Bandar-Bandar Diraja Di Malaysia’ yang merupakan penerbitan secara bersama Jabatan Warisan Negara dan Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Buku tersebut berkisar aspek seperti teoritikal, tipologi, komponen, elemen, karakter dan nilai warisan serta mitos yang melingkari bandar-bandar diraja tersebut.

Sembilan bandar diraja itu ialah Bandar Diraja Klang (Selangor), Bandar Diraja Arau (Perlis), Bandar Diraja Kuala Kangsar (Perak), Bandar Diraja Seri Menanti (Negeri Sembilan), Bandar Diraja Pekan (Pahang), Bandar Diraja Anak Bukit (Kedah), Bandar Maharani Muar (Johor), Bandar Diraja Chendering (Terengganu) dan Bandar Diraja Kubang Kerian (Kelantan).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This