Sembilan ketua cabang PKR Sabah tuntut tiada tindakan disiplin terhadap Zuraida

Sembilan ketua cabang PKR Sabah tuntut tiada tindakan disiplin terhadap Zuraida

SANDAKAN,. Sembilan ketua cabang PKR di Sabah hari ini menuntut agar tindakan disiplin tidak dikenakan terhadap Naib Presiden PKR dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Dilantik, Jaffari Waliam, yang juga Ketua Cabang PKR Libaran, berkata pemimpin seperti Ahli Parlimen Ampang itu perlu dikekalkan atas kesungguhan dan komitmennya dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin parti, wakil rakyat dan ahli kabinet.

“Kami menggesa agar tiada tindakan disiplin dikenakan ke atas YB (yang berhormat) Zuraida yang hanya menyatakan kebenaran dan kejujurannya dalam setiap ucapannya.

“Kami menggesa agar pengalaman dan kepakaran YB Zuraida dalam membantu pentadbiran cabang, negeri dan sayap parti dapat digunakan sepenuhnya bagi memperkukuhkan parti sebagai anggota penting dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini.

Menurut Jaffari, selain Libaran, lapan ketua cabang PKR lagi ialah dari Kudat, Tawau, Beluran, Sepanggar, Ranau, Kalabakan, Tenom dan Silam.

Beliau berkata PKR Sabah turut menghargai jasa Zuraida yang kerap melawat Sabah sejak menganggotai PKR dan sepanjang menjadi Menteri KPKT.

Katanya, ini termasuk komitmennya dalam memastikan pelaksanaan pelbagai usaha dan dasar kerajaan menerusi kementeriannya.

“Beliau telah membuat lawatan lebih 12 kali ke seluruh pelusuk negeri Sabah, termasuk zon pedalaman, Tawau dan Sandakan, selain pantai barat.

“Beliau turut mentauliahkan lebih 100 komuniti bomba di seluruh Sabah dan meyakinkan akar umbi parti mengambil bahagian sebagai sukarelawan demi membina Malaysia Baharu dalam kerajaan PH,” katanya.

Jaffari juga berharap semua ahli parti bersatu untuk mengukuhkan parti dan menjalankan amanah membangunkan rakyat.

Pada bulan lepas, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin tertinggi parti ketika berucap pada majlis makan malam ´Wawasan Kemakmuran Bersama´ di Kuala Lumpur.

Pada 17 Jan lepas, PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Menteri KPKT berhubung dakwaan salah laku disiplin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This