Semporna tawar pakej percutian menarik buat pencinta khazanah marin

Semporna tawar pakej percutian menarik buat pencinta khazanah marin

SEMPORNA,. Semporna yang terkenal dengan khazanah marin serta pulau peranginan antarabangsa menawarkan pelbagai pakej percutian bajet dan menarik untuk pelancong dalam negara berkunjung ke daerah berkenaan.

Kebanyakan pengusaha resort di sini menyediakan tawaran yang sukar ditolak khususnya buat penyelam dan pencinta hidupan marin bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi dan pelancongan setelah ditutup beberapa bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.


Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Divers & Sea Sport (Sabah) Sdn Bhd Datuk Admund Looh berkata pada masa ini, pihaknya menawarkan promosi pakej dengan diskaun sehingga 50 peratus daripada harga biasa untuk penyelam dan bukan penyelam dengan minimum tempahan untuk enam orang.

“Pakej percutian tiga hari dua malam di Borneo Divers Mabul Resort ini meliputi tempat tinggal, makan dan minum, pengangkutan serta aktiviti menyelam di Mabul atau Kapalai,” katanya kepada Bernama ketika lawatan suai kenal ke Semporna anjuran Persatuan Pelancongan Sabah dengan kerjasama Tourism Malaysia Sabah dan MASwings baru-baru ini.

Looh berharap tawaran pakej pelancongan itu dapat menarik lebih ramai pelancong domestik mengambil peluang bercuti ke Semporna sekali gus menyahut saranan kerajaan agar rakyat Malaysia melancong di dalam negara melalui kempen ‘Travel Domestic’.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Korporat, Pulau Sipadan Resort & Tours Sdn Bhd, Ronney Cyrol Lo berkata pihaknya turut menawarkan pakej istimewa dengan menyasarkan pelancong tempatan datang bercuti ke daerah itu.

“Kami tidak pernah menyediakan pakej khas untuk pelancong dalam Sabah, tetapi kali ini kami menyediakan pakej dua hari, satu malam ke Sipadan-Kapalai Dive Resort dan tawaran ini dibuka sehingga 30 Sept ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Semporna Jamilah Ang berkata selain aktiviti skuba, pelancong juga boleh melakukan ‘snorkeling’ atau ‘island hoping’ ke Taman Marin Tun Sakaran yang meliputi Pulau Bohey Dulang, Pulau Mantabuan dan Pulau Sibuan.

Mabul, Kapalai dan Sipadan merupakan pulau saling berdekatan dan menyajikan pemandangan indah hidupan marin buat pencinta alam bawah laut.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Daerah Semporna Hafizul Hafiz Ladja Hassan berkata Semporna kini sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong pascapandemik COVID-19.

“Keyakinan itu bersandarkan kepada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek kesihatan, keselamatan, kawalan dan persekitaran ketat yang dilakukan oleh pihak pengurusan selaras dengan arahan kerajaan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This