Semua banduan di Penjara Seberang Perai jalani ujian saringan COVID-19

GEORGE TOWN,. Semua banduan di Penjara Seberang Perai di Jawi dekat sini akan menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah awal membendung penularan selepas tiga banduan di situ disahkan positif kelmarin.

Pengarah Penjara Pulau Pinang Roslan Mohamed berkata walaupun tiga lelaki itu diletakkan di blok yang berasingan dengan kira-kira 2,000 banduan lama namun pihaknya mengambil langkah segera bagi memastikan mereka yang dijangkiti menerima rawatan awal.

“Selain banduan lama, semua banduan yang baru dibawa masuk ke Penjara Seberang Perai juga akan menjalani saringan awal COVID-19 dan kakitangan penjara juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam pengendalian banduan.

“Malah, banduan-banduan baharu juga diasingkan serta ditempatkan di blok berasingan daripada banduan telah lama di situ selama 14 hari dan jika selepas itu mereka negatif COVID-19 baru dipindahkan ke sel blok yang sama dengan banduan lama,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Katanya, proses ujian saringan COVID-19 yang dijalankan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan banduan lama di penjara itu mungkin mengambil masa beberapa hari.

Roslan berkata sejak tiga hari lepas sehingga kelmarin, kira-kira 200 banduan baharu dan kakitangan penjara telah disaring COVID-19 dan setakat ini tiada petugas di situ yang disahkan positif jangkitan tersebut.

Katanya, tiga banduan yang positif COVID-19 itu kini ditempatkan di blok transit yang jauh daripada blok-blok banduan lain dan sedang menerima rawatan daripada petugas KKM di situ manakala 15 banduan lain yang berada di dalam sel sama dengan mereka juga telah dikuarantin.

“Blok transit itu memang telah lama kosong dan banduan yang didapati positif COVID-19 kita tempatkan di situ bagi menjalani rawatan, mereka berada dalam keadaan stabil serta keadaan dalam penjara juga terkawal,” katanya.

Tinjauan di penjara itu mendapati terdapat pergerakan masuk dan keluar kenderaan KKM yang membawa petugas kesihatan dipercayai untuk membuat ujian saringan COVID-19 ke atas banduan di Penjara Seberang Perai.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Penjara Jawi selepas tiga banduan di situ dikesan positif COVID-19.

Sementara itu, berhubung perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang yang bermula jam 12 tengah malam tadi, Roslan berkata pihak penjara telah bersiap sedia dan tidak menolak kemungkinan ahli keluarga petugas penjara di situ juga akan menjalani ujian saringan COVID-19.

“Kemungkinan ahli keluarga kakitangan mempunyai kontak rapat dengan banduan disahkan positif COVID-19 akan menjalani ujian saringan (COVID-19), kami tunggu arahan selanjutnya daripada KKM,” katanya.

Beliau berkata sehingga semalam, seramai 177 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang disahkan positif COVID-19 dan ketika ini kesemua mereka menerima rawatan di dalam penjara serta dalam keadaan stabil.

Sejak 5 Oktober, Kluster Penjara Reman Pulau Pinang merekodkan 178 kes positif yang hanya melibatkan banduan termasuk seorang warga emas berusia 85 tahun yang meninggal dunia.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )