Senarai Titik Panas Covid-19 Tawau Tidak Benar
TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau menafikan pihaknya mengeluarkan senarai kawasan titik panas (hotspot) Covid-19 bagi daerah itu.
“Tidak benar… Kita hanya ada hotspot untuk (penyakit) denggi,” kata Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. G Navindran ketika dihubungi pada Jumaat.
Terdahulu, menurut satu surat dikeluarkan pejabat itu yang dialamatkan kepada Pegawai Pemerintah 26 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan bertarikh 20 Mac (Jumaat), terdapat 17 lokaliti hotspot Covid-19 di Tawau.
Lokaliti tersebut dikatakan di Kg Muhibbah Raya, Kg Pasir Putih Jalan Sin San, BSI Fasa 5A, Kg Pisang, Taman Ria 2, Bukit Batu Estet Kalabakan, Kg Sg Imam, Taman Muhibbah Jaya, Kuarters Hospital Tawau dan Kg Jawa Jalan Guru.
Turut disenaraikan, Jalan Damai, Taman Hilltop, Kg Iban Merotai, Jalan Imam Galundang, PPR Batu 8 Jalan Apas dan Taman Megah Jaya.
Sementara itu, laman facebook Pejabat Kesihatan Tawau turut memuat-naik penafian surat terbabit yang menyatakan ianya tidak benar dan palsu serta meminta agar penyebaran berita palsu dihentikan untuk kebaikan semua.
Berkenaan mesej tular sejak pagi kononnya terdapat empat kakitangan sebuah bank positif Covid-19 berserta gambar kakitangan Kesihatan melakukan pembersihan di bank tersebut, Dr. Navin mengatakan perkara itu tidak benar.
Menurutnya, pihaknya hanya melakukan kuarantin terhadap kakitangan bank yang mempunyai kontek langsung dengan seorang suspek Covid-19 yang berurusan di bank terbabit yang kemudiannya didapati positif menghidap virus tersebut.
“Kita tidak boleh dedahkan nama. Kita hanya boleh maklumkan bilangan kes dan akan menghubungi semua yang dekat dengan kes untuk dikuarantin,” katanya ketika ditanya lanjut tentang suspek.
Turut tular, pelanggan bank yang positif virus adalah kononnya pasangan suami isteri iaitu pemilik sebuah premis perniagaan barangan borong terkenal di Sabindo.
Wakil syarikat terbabit sudahpun membuat penafian dalam satu mesej berasingan yang tular mengatakan mereka tidak pernah ke bank tersebut sejak November sehingga Mac, malah akan bertindak membuat laporan polis sekiranya (penyebaran) berterusan