Sengaja campur ubat titis mata dalam minuman suami, wanita dipenjara 25 tahun

AMERIKA SYARIKAT,. Mahkamah South Carolina menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap seorang wanita selepas dirinya mengakui telah meletakkan racun ke dalam minuman suaminya sehingga menyebabkan kematian.

Lana Clayton, 53 tahun, dipercayai telah memasukkan ubat titis mata ke dalam minuman mangsa dua hari sebelum suaminya itu disahkan meninggal dunia.

Suspek yang juga merupakan jururawat di Jabatan Hal Ehwal Veteran Amerika Syarikat, dipercayai mempunyai niat untuk melakukan pembunuhan tersebut kerana dia tahu bahawa ubat titis itu sukar untuk dikesan kerana tidak mempunyai bau dan kelihatan jernih dalam larutan air.

Mangsa, Steven Clayton, 64 tahun meninggal dunia disebabkan masalah saluran darah yang berpunca daripada kandungan kimia yang tinggi dalam ubat titis tersebut iaitu tetrahydrozoline.

Peguambela, Kevin Brackett memberitahu kepada pihak kehakiman bahawa Lana Clayton membunuh suaminya oleh sebab wang.

Dia juga mendakwa bahawa suspek telah menghapuskan segala bahan bukti supaya pihak berkuasa tidak dapat mengesan kematian suaminya itu, menurut laporan WSOC.

Berikutan itu, anak perempuannya, Lourdes Alvarez, yang paling terkesan dengan kejadian tersebut menggesa pihak mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat terhadap Lana Clayton.

“Lana telah menipu ramai orang, jangan biarkan dia menipu awak,” kata anak perempuannya semasa dalam sesi pendengaran.

Susulan itu, suspek kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun susulan kejadian pembunuhan yang berlaku pada 21 Julai 2018.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )