Seorang maut, enam cedera kemalangan babit tujuh motosikal

Seorang maut, enam cedera kemalangan babit tujuh motosikal

SEREMBAN,. Seorang lelaki maut manakala enam lagi cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Km 38.8 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) menuju arah selatan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala enam yang lain cedera pada bahagian muka dan luka seluruh badan.

“Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggangi mangsa bergerak secara berkumpulan dari arah Nilai menuju ke Seremban.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal yang ditunggangi lelaki berusia 21 tahun dalam kumpulan sama menyebabkan kedua-dua motosikal hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Nanda berkata lima motosikal masing-masing ditunggangi lelaki berusia 17 hingga 20 tahun dalam kumpulan sama dari arah belakang pula tidak sempat mengelak dan melanggar kedua-dua motosikal terbabit.

Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat serta rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, mana-mana individu yang terlibat atau saksi diminta menyerah diri ke balai polis berhampiran dengan pengesanan giat dijalankan.

Semalam, tular tiga video yang berdurasi 30, 15 dan 12 saat memaparkan kejadian berkenaan, bagaimanapun video berdurasi 30 saat itu ialah rakaman video lama yang disiarkan semula dan bukan berlaku di Lekas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This