Seorang penunjuk perasaan terbunuh, dua rakyat Australia ditahan di Myanmar

Seorang penunjuk perasaan terbunuh, dua rakyat Australia ditahan di Myanmar

YANGON: Pasukan keselamatan di Myanmar telah menembak mati seorang penunjuk perasaan antirampasan kuasa pada Ahad lepas, ketika pihak kerajaan Australia mengesahkan ia sedang membantu dua orang rakyat yang ditahan ketika cuba untuk meninggalkan Yangon.

Myanmar berada dalam huru-hara sejak pihak tentera menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi pada bulan lepas, mencetuskan bantahan di seluruh negara yang menuntut agar demokrasi dikembalikan semula. Pasukan kselamatan telah memberikan respons dengan kekerasan menggunakan peluru hidup bersama dengan gas pemedih mata dan peluru getah dalam satu usaha untuk menghentikan tunjuk perasaan.

Seorang lelaki telah terbunuh pada Ahad lepas di bandar tengah Monywa dan sekurang-kurangnya dua orang telah tercedera dalam satu perbalahan dengan pasukan keselamatan di kawasan hadangan, dua orang saksi memberitahu AFP.

“Saya melihat orang ramai membawa seorang lelaki yang telah ditembak dan dibunuh,” seorang penduduk tempatan memberitahu AFP, sambil menambah mayat telah dibawa ke sebuah hospital tempatan.

“Mereka menggunakan bom tangan pegun dan gas pemedih mata… kemudian mereka mula menembak. Saya tidak tahu sekiranya lelaki itu, yang meninggal dunia di tempat kejadian selepas dia terkena tembakan di kepalanya, telah terbunuh akibat peluru hidup atau peluru getah.”

Kementerian luar negara Australia mengesahkan pada Ahad lepas ia sedang memberikan bantuan konsular kepada dua orang rakyatnya di Myanmar. “Disebabkan tanggungjawab privasi kami, kami tidak akan memberikan sebarang maklumat lanjut,” menurut seorang jurucakap.

Difahamkan bahawa perunding perniagaan Matthew O’Kane dan Christa Avery, seorang rakyat dwi kerakyataan Kanada-Australia, telah berada di bawah penahanan di rumah selepas cuba untuk meninggalkan negara dengan sebuah pesawat bantuan pada Jumaat lepas. Pasangan tersebut menjalankan sebuah perniagaan konsultansi khas untuk pelanggan di Yangon.

Jabatan hal ehwal global di Kanada menyatakan ia telah menyedari tentang satu kes melibatkan seorang rakyat Kanada dan “memberikan perkhidmatan konsular.” Seorang rakyat Australia ketiga, ahli ekonomi Sean Turnell, seorang penasihat kepada Suu Kyi, telah ditangkap seminggu selepas pemimpin itu juga masih berada dalam tahanan.

Keganasan pada hujung minggu gagal untuk menghalang beratus-ratus orang doktor dan jururawat yang menggunakan topi keras dan membawa poster Suu Kyi ketika mereka berarak pada awal pagi melalui Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar dan ibu negara kebudayaan.

Selepas itu penunjuk perasaan yang lain meletakkan papan tanda protes di dalam pasu tanaman di sepanjang sebatang jalan. Pada waktu tengah hari terdapat penghadang yang dibakar, bunyi tembakan di jalan raya dan sekurang-kurangnya empat orang tercedera, menurut seorang doktor di Mandalay.

Mandalay telah menjadi tempat kejadian bagi sebahagian daripada keganasan terburuk oleh pihak polis dan tentera sejak rampasan kuasa tersebut. “Bantahan berlaku sehari selepas sebuah kumpulan pemerhati tempatan mengesahkan pembunuhan empat orang penunjuk perasaan di tangan anggota keselamatan di seluruh negara.

Dua daripada kematian itu adalah di Yangon, hab komersil negara, menurut Pertubuhan Bantuan bagi Tahanan Politik (AAPP). Orang ramai yang berkabung di bandar mengebumikan mangsa berusia 26 tahun yang meninggal dunia pada Sabtu lepas ketika dalam tahanan selepas ditembak dan ditangkap pada malam sebelumnya.

Ibu Myo Myint Aung menangis di tepi keranda ketika upacara pengebumian, menyatakan bahawa anak lelakinya adalah masih kecil di matanya.

“Saya benar-benar berbangga dengan apa yang kamu telah lakukan untuk demokrasi dan negara ini,” kata beliau, dalam satu rakaman video bagi upacara pengebumian yang dihantar di dalam media sosial. “Kamu adalah seorang wira sebenar.”

Satu upacara pengebumian turut dilakukan untuk ibu kepada tiga orang anak Mar La Win, 38, yang meninggal dunia pada awal hujung minggu ini di tengah bandar Pakokku di sepanjang sungai Irrawaddy.

“Keluarga saya sangat sedih sekarang,” suami beliau Myint Swe memberitahu AFP ketika bendera merah milik parti politik Suu Kyi telah diletakkan di atas kerandanya yang dikelilingi dengan bunga.

Di tempat lain keluarga kepada Aung Kaung Htet berusia 15 tahun, yang telah ditembak pada dahinya ketika satu protes di Tamwe, Yangon, memberikan penghormatan kepada remaja tersebut. Orang ramai yang berkabung mengangkat tiga jari tanda penghormatan – simbol bagi bantahan – ketika pengebumian beliau.

Hampir 250 kematian telah disahkan dalam masa beberapa minggu sejak rampasan kuasa, lapor AAPP, walaupun angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi. Lebih daripada 2,300 orang lagi telah ditangkap, menurut kumpulan tersebut.

Kecaman pihak antarabangsa oleh Washington, Brussels dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu setakat ini gagal menghentikan pertumpahan darah. Menteri luar Kesatuan Eropah dijangka akan meluluskan sekatan terhadap 11 pegawai junta dalam satu mesyuarat Isnin ini.

— AFP

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )