Sepanyol umum suntikan 3.75 bilion euro pulihkan industri automotif
MADRID,. Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan bantuan pemulihan industri automotif berjumlah 3.75 bilion euro (RM18 bilion), yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Kerajaan bekerjasama dengan pemain industri ini yang menjadi tonggak ekonomi negara bagi membangunkan pelan komprehensif yang dapat memenuhi keperluan mereka sekali gus berfungsi untuk mencapai peralihan ekologi yang mendesak,” katanya ketika berucap di stesen televisyen.
Beliau berkata, pelan rancangan itu turut memberi tumpuan untuk pembangunan kenderaan elektrik selain kajian penyelidikan inovasi dan insentif percukaian bagi menjadikan sektor automotif lebih kompetitif.
“Bantuan untuk membeli kenderaan elektrik juga sejajar dengan rancangan peralihan yang menetapkan sasaran supaya semua kenderaan di negara ini beralih kepada konsep ‘pelepasan sifar’ pada 2040
Sektor automotif adalah antara tonggak ekonomi Sepanyol, kedua terbesar pengeluaran di Eropah selepas Jerman.
Sanchez juga berkata, sektor itu menghasilkan 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sepanyol, eksport kelima terbesar dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 2 juta rakyat.
Pandemik COVID-19 menyebabkan kilang pengeluaran kenderaan di Sepanyol ditutup selama beberapa minggu
Pengeluar kenderaan Jepun, Nissan baru-baru ini mengumumkan penutupan kilangnya di Barcelona yang menjejaskan 20,000 tenaga kerja manakala kilang Ford pula mengumumkan terpaksa membuang 350 pekerja di kilangnya di Valencia.