Serba Dinamik kemuka rayuan pada Bursa Malaysia bagi membatalkan dinyah senarai

Serba Dinamik kemuka rayuan pada Bursa Malaysia bagi membatalkan dinyah senarai

KUALA LUMPUR,. Serba Dinamik Holdings Bhd telah mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) untuk membatalkan sekuriti syarikat daripada dinyah senarai di bursa tempatan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata ini adalah disebabkan syarikat itu diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah Nota Amalan 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities pada 16 Ogos, 2023.

Pada 16 Ogos, Serba Dinamik berkata ia mungkin dinyah senarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Ogos, selepas Bursa Securities memutuskan untuk menolak permohonan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan regularisasi melainkan rayuan terhadap penyahsenaraian itu dihantar kepada Bursa Securities pada atau sebelum 23 Ogos, 2023.

Syarikat itu dimasukkan ke dalam status PN17 pada 6 Jan, 2022 dan dagangan sekuritinya di Bursa Malaysia telah digantung sejak Disember 2022 kerana gagal menyerahkan laporan tahunan 2022.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This