Sertai Pertandingan Dayung Pimaguh dan Dari Pegan Bisapug 2021

Sertai Pertandingan Dayung Pimaguh dan Dari Pegan Bisapug 2021

KUCHING: Misi mencari ‘Dayung Pimaguh’ dan ‘Dari Pegan’ bagi keturunan Bidayuh Bisapug tahun ini bermula dengan gadis serta teruna suku kaum itu yang berusia 18 hingga 27 tahun dipelawa menyertai Pertandingan Dayung Pimaguh dan Dari Pegan Bisapug 2021.

Presiden Persatuan Bisapug Sarawak (PBS) Niko Paduk berkata, pertandingan anjuran PBS itu bertujuan memelihara serta mempromosi kebudayaan serta busana asal Bidayuh Bisapug di daerah Padawan.

Beliau menambah, ia juga memberi peluang dan ruang kepada peserta meningkatkan rasa yakin diri dalam pertandingan seumpama itu di peringkat lebih tinggi kelak.

Menurutnya, pertandingan berkenaan telah melahirkan ramai anak gadis Bisapug yang berbakat dan berjaya dalam pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Juara bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, piala, selendang, sijil penyertaan dan hamper sumbangan Nestle Products.

“Naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan menerima hadiah tunai RM800 dan RM600, piala, sijil penyertaan dan hamper sumbangan Nestle Products manakala semua penyertaan akan menerima hadiah tunai RM50, sijil penyertaan dan hamper,” katanya menerusi kenyataan media.

Niko berkata, Pertandingan Dayung Pimaguh dan Dari Pegan Bisapug 2021 teristimewa kerana untuk julung kalinya kategori ‘Dari Pegan’ atau ‘Bujang Berani’ dipertandingkan berikutan permintaan tinggi agar ia diperkenalkan.

“Untuk julung kalinya juga pertandingan ini akan diadakan dalam norma baharu, tiada perjumpaan besar mahupun sebarang majlis rasmi diadakan, sebaliknya sebahagian daripada penilaian para peserta akan diadakan secara maya.

“Orang ramai boleh mengundi peserta yang diminati melalui laman FB Dayung Pimaguh & Dari Pegan Bisapug,” katanya.

Menurut Niko, peserta akan dinilai oleh juri profesional melalui kecantikan atau paras muka (40 peratus), kostum (20 peratus), aksi di atas pentas termasuk tarian (10 peratus) dan kepintaran semasa sesi soal jawab (10 peratus.

Manakala baki 20 peratus markah akan dinilai oleh orang ramai melalui jumlah ‘like’ pada laman undian di Facebook.

Tarikh tutup penyertaan pada 30 April 2021 dan mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook Dayung Pimaguh & Dari Pegan Bisapug 2021 untuk keterangan lanjut.

-Utusan Borneo

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )