Sesi persekolahan di Tangkak disaran ditangguhkan jika IPU kekal melebihi 200 – exco

JOHOR BAHRU,. Sesi persekolahan di daerah Tangkak disaran ditangguhkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal melebihi 200.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata bacaan IPU di Tangkak kini mencatatkan tahap 206.

Beliau berkata kerajaan negeri akan bertindak mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menangani situasi di daerah berkenaan.


“Selari dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, saya menyarankan agar sesi persekolahan di daerah Tangkak ditangguhkan sekiranya bacaan IPU kekal melebihi 200.

“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah diminta untuk mengikuti rapat pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan makluman terkini bacaan IPU di daerah Tangkak,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Tan berkata JAS sedang mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan dan gejala yang menjadi potensi dan punca membolehkan keadaan udara bertambah teruk.

“Saya menyeru orang awam supaya mengambil langkah penjagaan diri dengan mengurangkan aktiviti luar dan memakai topeng muka apabila perlu berada di luar.

“Rujuk juga klinik kesihatan bagi mendapatkan pemeriksaan sekiranya terkesan dengan kualiti udara setempat selain memastikan badan anda kekal hidrasi dengan bekalan air yang mencukupi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )