Shafie alu-alukan SPRM siasat SDB berkaitan pinjaman RM300 juta kepada AirAsia
KOTA KINABALU, 28 Okt — Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengalu-alukan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap keputusan Sabah Development Bank Bhd (SDB) memberikan pinjaman sebanyak RM300 juta kepada AirAsia Bhd.
Bekas Menteri Kewangan Sabah itu berkata AirAsia Berhad adalah syarikat berdaftar di Bursa Malaysia, dan sebarang urusan transaksi bernilai RM300 juta sudah tentu kelulusan diberikan selepas semua syarat pinjaman dipatuhi oleh pemohon.
Beliau berkata sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menjadi pilihan rakyat, AirAsia mempunyai pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah dengan syarikat tersebut menyasarkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di negeri ini.
“Syarikat penerbangan itu merancang untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu antaranya stor simpanan hasil pertanian dikenali sebagai “OurFarm” selaras dengan sasaran mereka untuk menjadi pengedar utama hasil pertanian dan perikanan yang dijual melalui perniagaan digital atau e-dagang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Shafie berkata segala perancangan AirAsia itu sudah tentu memberi manfaat kepada Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil pertanian dan perikanan.
Katanya dengan adanya bekalan produk pertanian, petani mampu menjana lebih banyak pendapatan dengan pasaran yang lebih luas hingga ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan AirAsia sebagai perantara.
Katanya bagi memasarkan produk pertanian, sistem pengangkutan amat penting, dan AirAsia bersedia menyediakan penerbangan agar setiap produk itu dapat sampai ke destinasi dengan cepat sebelum rosak.
“Dalam sektor pelancongan, sudah tentu kegemilangan Sabah sebagai pusat tumpuan pelancong akan kembali sekiranya sasaran AirAsia untuk menjadikan negeri ini sebagai hab antarabangsa menjadi realiti,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan AirAsia Group Bhd mengesahkan memperoleh pinjaman sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank Bhd (SDB) dan bukan daripada mana-mana pembiayaan atau jaminan kerajaan.
— BERNAMA