Sharnaaz Ahmad nafi khabar angin proses perceraian

KUALA LUMPUR – Pelakon Sharnaaz Ahmad menafikan khabar angin bahawa rumah tangganya bersama Noor Nabila kini dalam proses perceraian. Menurut Sharnaaz, 34, tiada sebarang kenyataan lanjut daripadanya kerana tiada apa yang berlaku antara mereka.

“Belum lagi. Tiada apa mahu diberitahu buat masa ini. Saya cuma mahu ucap selamat hari lahir yang pertama buat anak saya, Jebat Jayden Ahmad,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. Spekulasi rumah tangga pelakon filem Juvana itu kembali hangat diperkatakan ramai selepas Nabila memuat naik gambar hadapan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menerusi Insta Storynya beberapa jam lalu.

Sekitar Februari lalu, rumah tangga pasangan yang berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor itu pernah dilanda kontroversi selepas mereka sering memuat naik kata-kata sedih dalam laman sosial Instagram masing-masing.

Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan itu semakin rancak menjadi bahan bualan selepas mereka didakwa sempat menghadiri kaunseling di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Namun baik Sharnaaz mahupun Nabila, kedua-duanya tidak pernah membuka mulut untuk memberikan justifikasi terhadap status sebenar perkahwinan mereka. – K! ONLINE

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )