Shima syukur impian miliki rumah sendiri terlaksana
PUTRAJAYA – Penyanyi lagu Teringin, Shima bersyukur impian untuk memiliki rumah sendiri telah dimakbulkan walaupun masih berstatus sewa beli.
Shima atau nama penuhnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman telah menerima surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Selangor yang telah diserahkan sendiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.
Penyanyi berusia 50 tahun itu kini tergolong dalam golongan berpendapatan rendah dan kesusahannya mendapat perhatian umum termasuk kementerian yang sangat prihatin kepada kebajikan masyarakat termasuk golongan artis tanah air.
“Saya rasa sangat gembira kerana akhirnya saya dapat memiliki rumah. Seperti yang kita tahu bukan senang nak dapat rumah ini semua kena ikut turutan termasuklah saya.
“Ada yang bertahun mohon masih tiada jawapan tapi syukur saya dapat bantuan daripada ramai pihak jadi urusan untuk memiliki rumah ini dipermudahkan,” katanya usai majlis penyerahan surat tawaran PPR, di bangunan KPKT hari ini.
Penyanyi wanita era 1990-an berkenaan kini sepenuhnya bergantung dengan sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor untuk kelangsungan hidup oleh kerana mempunyai pelbagai penyakit antaranya yang paling serius adalah sakit cakera tulang belakang tergelincir (slipped disc) yang menyukarkannya bekerja. – K! ONLINE