Siasat terperinci dalang sebenar gerakan sulit ‘pujuk’ YB kem kerajaan keluar parti

Siasat terperinci dalang sebenar gerakan sulit ‘pujuk’ YB kem kerajaan keluar parti

KOTA KINABALU,. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menggesa pihak berwajib mengenal pasti dalang sebenar di belakang gerakan sulit ‘memujuk’ wakil-wakil rakyat (YB) untuk keluar dari kem Kerajaan Negeri.

Presiden Parti Warisan Sabah WARISAN itu mahu siasatan terperinci dijalankan berdasarkan laporan polis yang sudah dibuat oleh YB-YB terlibat sesuai dengan praktis undang-undang yang diamalkan di negara ini.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh orang lain (yang bertanggungjawab) bertemu YB-YB (dari kem Kerajaan Negeri), (tetapi) mereka (ejen) ini wakil siapa? Siapa yang mahu mereka berjumpa YB-YB ini?

“Adakah (motif) mereka (kerana) hendak membentuk kerajaan (baharu) atau menjadi ketua menteri atau pemerintah? Saya pasti ada pihak tertentu yang mendalangi gerakan itu. Laporan polis juga sudah dibuat.

“(Jadi) saya minta siasatan terperinci perlu untuk mengenalpasti pihak (sebenar) yang suruh mereka dan (siasatan perlu) dijalankan sesegera mungkin, termasuk menahan (menyoal-siasat) YB-YB yang terlibat,” katanya.

Shafie berkata demikian semasa ditemui di Bilik Mesyuarat Pejabat Ketua Menteri di Tingkat 32, Bangunan Pusat Pentadbiran Utama Negeri Sabah (PPNS) di sini, semalam, berhubung perkembangan politik semasa.

Menurutnya, Malaysia mempunyai undang-undang dan perbuatan terbabit tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana disifatkannya boleh menjejaskan ketenteraman negeri ini khasnya termasuk negara amnya.

Mengulas lanjut, beliau turut memandang serius tindakan pihak tertentu yang memasuki rumah YB-YB tanpa waran lengkap sehingga berulang kali yang disifatkannya mengganggu gugat ketenteraman individu.

Ditanya berhubung pertemuannya dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pagi semalam di istana pula, beliau berkata perkara itu adalah praktis biasa sebagai seorang Ketua Menteri.

“Pertemuan itu adalah biasa kerana saya bertemu TYT untuk memberikan taklimat mengenai perkembangan semasa di negeri ini khususnya perkara-perkara penting yang perlu disampaikan untuk pengetahuannya,” katanya.

Menjawab soalan pemberita berhubung komennya terhadap ura-ura yang mengatakan kononnya ada cubaan parti lain mahu ke istana, Shafie berkata perkara itu tidak penting untuk beliau ulas lanjut.

Bagaimanapun, beliau percaya rakyat di negara ini juga sudah semakin matang dan menyifatkan sejarah sudah membuktikan ramai YB yang selalu melompat parti akhirnya dihukum rakyat pada pilihan raya.

Shafie juga yakin YB-YB kem Kerajaan Negeri sekarang sudah cukup matang sekalipun ada ura-ura yang mengatakan kononnya ada YB yang melompat parti hendak ‘u-turn’ namun belum ada sebarang kepastian.

“Tidak tahu betul atau tidak (ada YB yang melompat parti hendak u-turn) tetapi saya fikir biar kita jalankan fungsi sebagai kerajaan dan tenteramkan rakyat yang bingung dengan COVID-19 dan krisis ekonomi.

“Saya harap rakyat bertenang, jangan bimbang atau dengar sangat (percaya) cerita-cerita begini, sebab dari dulu lagi mereka kata akan berlaku perubahan pada hari raya lepas, tetapi tidak ada juga perubahan.

“Saya yakin Sabah bukan seperti negeri lain kerana kita ada ketahanan dan budaya inginkan perubahan. Saya juga tidak kawal YB-YB, tetapi mereka sendiri yang hubungi saya dan beritahu akan terus bersama-sama saya dan Kerajaan Negeri,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This