Sidang Kemuncak Kuala Lumpur penting untuk bawa mesej Islam sebenar – Mujahid
KUALA LUMPUR,. Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 menjadi platform penting dalam mengorak langkah untuk membawa mesej Islam sebenar kepada dunia, lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan isu radikalisme dan Islamophobia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau, selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam berkata, radikalisme melahirkan tindakan keganasan kononnya atas nama agama yang membawa kepada Islamophobia, satu kebimbangan tidak berasas sehingga mewujudkan diskriminasi dan stigma buruk terhadap umat Islam di seluruh dunia.
Untuk itu, Mujahid berkata sidang kemuncak itu hadir dengan naratif Rahmatan lil Alamin untuk memberitahu kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang progresif, produktif dan mahukan keamanan.
“Agama Islam ini mencari ruang untuk kita mengurangkan ketegangan dan umat Islam mahu hidup sebagaimana orang lain hendak hidup, menyumbang kepada kebahagiaan dan kesejahteraan dunia.
“Mesej ini sangat penting kerana ia akan melakarkan kehendak sebenar Islam…kita akan lihat apa sumbangan KL Summit ini kepada dunia,” katanya kepada Bernama.
Dalam mendepani masalah yang dihadapi negara Islam, Mujahid berkata konsep Rahmatan lil Alamin sangat praktikal sama ada dalam menyelesaikan isu antara orang Islam dengan bukan Islam mahupun isu sesama umat Islam seperti perbezaan mazhab.
Mujahid berkata pengalaman Malaysia menjadikan Rahmatan lil Alamin sebagai dasar negara, disertakan dengan Maqasid Syariah, boleh dikongsi mana-mana negara untuk dipraktikkan mengikut konteks tempatan negara masing-masing.
“Tujuan Maqasid Syariah adalah untuk menjaga hubungan sesama manusia…melihat bagaimana Maqasid menyelesaikan isu ini. Ia meliputi kerangka masyarakat, undang-undang, tradisi, sistem politik dan kedudukan ekonomi sesebuah negara,” katanya.
Menurut Mujahid, itulah sebabnya beliau membawa konsep Rahmatan lil Alamin ke peringkat antarabangsa antaranya ke University of Cambridge, dialog bersama 13 duta Kesatuan Eropah dan sesi penerangan bersama duta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Dalam pada itu, Mujahid berkata Sidang Kemuncak Kuala Lumpur sangat signifikan bukan sahaja kepada Malaysia, malah juga seluruh dunia Islam kerana ia menghimpunkan pemimpin dunia Islam untuk membincangkan survival umat Islam.
Selain mengupas sosioekonomi umat Islam, katanya, ia juga akan menjadi medan muhasabah diri untuk umat Islam bangkit daripada kelemahan yang ada.
“Dr Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) selalu sebut tentang perlunya pemimpin Islam sesama mereka bagaimana hendak memastikan kita tidak ketinggalan. Jadi itu sangat penting untuk survival umat Islam hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mujahid berkata resolusi yang bakal dihasilkan pada sidang kemuncak itu nanti perlu disusuli dengan tindakan yang lebih proaktif .
Lima negara — Malaysia, Indonesia, Turki, Qatar dan Pakistan — akan menjadi perintis sidang kemuncak itu yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Dis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Seramai 450 pemimpin Islam, pemikir, intelektual dan cendekiawan dari seluruh dunia dijangka menghadiri sidang kemuncak itu.
Sidang kemuncak itu akan membincangkan mengenai isu umat Islam berdasarkan tujuh teras iaitu pembangunan dan kedaulatan; integriti dan tadbir urus yang baik; budaya dan identiti; keadilan dan kebebasan; keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan; serta tadbir urus internet dan teknologi.
— BERNAMA