Signify teroka industri menegak baharu pada 2020

Signify teroka industri menegak baharu pada 2020

KUALA LUMPUR,. Signify, pemimpin dunia dalam pencahayaan, kini memberi tumpuan kepada penyelesaian pencahayaan mampan dengan meneroka industri menegak baharu, khusus dalam hortikultur dan teknologi LiFi (Light Fidelity) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya bagi ASEAN, Alok Ghouse, memberitahu Bernama bahawa syarikat itu berminat untuk mewujudkan teknologi pintar dan lebih mesra alam menerusi inovasi tanpa had untuk mengoptimumkan aplikasi diod pemancar cahaya (LED) di lebih banyak kawasan.

Beliau berkata Signify menggunakan lampu Philips Lighting untuk hortikultur di Belanda sebagai projek perintis pada 2017 untuk penanaman sayur-sayuran.

Kaedah itu didapati 1.46 kali lebih cekap daripada lampu pelepasan intensiti tinggi tradisional, menjadikan sayur-sayuran seperti tomato, salad (selada) dan timun tumbuh dengan lebih cepat dan menyumbang kepada hasil penuaian yang lebih besar selain tumbuh-tumbuhan yang berkualiti tinggi.

Sementara itu, Signify memperkenalkan Trulifi – teknologi LiFi yang menawarkan sambungan Internet dengan cepat menggunakan cahaya.

Ghose menjelaskan bahawa Trulifi menggabungkan pencahayaan LED yang cekap tenaga dengan sambungan tanpa wayar yang boleh dipercayai, selamat dan berkelajuan tinggi pada kelajuan lebih tinggi berbanding kebanyakan teknologi tanpa wayar konvensional, di tempat kerja.

Beliau berkata Trulifi boleh memberi manfaat kepada komuniti memandangkan ia sesuai digunakan oleh bank, sekolah, kerajaan dan industri, termasuk sektor penjagaan kesihatan dan perhotelan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat itu telah menceburi sektor perniagaan kepada perniagaan (B2B) bagi produk dan penyelesaian di negara ini.

Signify memperkenal ‘Interact’, sebuah aplikasi perisian yang direka khusus untuk menggabungkan sistem pencahayaan menggunakan Internet Pelbagai Benda (IoT).

Beliau berkata Melaka merupakan Bandar Interaksi pertama di Malaysia yang berjaya menggunakan sistem pengurusan pencahayaan jalan pintar berasaskan awan melalui IoT pada 2018.

Melaka kini mempunyai sistem pengurusan pencahayaan jalan secara menyeluruh, dengan setiap titik cahaya bersambung, dengan data dihantar melalui awan ke pelayan lampu bandar, katanya.

“Sejumlah 1,138 lampu LED dipasang, dan sistem baharu itu berjaya mengurangkan kos penyelenggaraan, dan menyumbang kepada penjimatan tenaga bulanan pada purata 62 peratus,” katanya.

Ghose berkata Signify, yang sebelum ini dikenali sebagai Philips Lighting, juga sedang berusaha untuk memperluas sektor perniagaan kepada pelanggan (B2C) dengan melaksanakan lampu rumah pintar seperti Lighting Wireless Philips Hue, yang membolehkan pengguna mengawal pencahayaan menggunakan aplikasi serta menetapkan jadual dan masa pemandangan lampu.

“Kami akan terus meningkatkan penggunaan pencahayaan pintar dengan memperkenal pilihan yang lebih berpatutan untuk pengguna dalam tempoh terdekat,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Zufazlin Baharuddin

CATEGORIES
TAGS
Share This