
Sikap tidak bertanggungjawab, punca kebakaran hutan
LABUAN,. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu melakukan pembakaran terbuka membawa padah apabila kawasan hutan di Kampung Sungai Bangat terbakar semalam.
Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Sabri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.30 pagi berhubung kebakaran yang melibatkan hutan seluas lapan ekar.
“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wilayah Persekutuan Labuan dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, anggota terus melakukan kerja- kerja pemadaman.
“Kami mengenal pasti punca kebakaran daripada pembakaran yang telah dilakukan individu di kawasan itu dan mendapati ada kesan timbunan kayu dan daun yang sengaja dibakar,” katanya ketika ditemui Wilayahku.
Sabri berkata, kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 2.30 petang dan pihaknya menggunakan bantuan jentera ‘water tank’ untuk memadamkan api.
Sehubungan itu, Sabri menyeru agar orang awam tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka. – WILAYAHKU