Singapura atasi AS sebagai ekonomi paling kompetitif

Singapura atasi AS sebagai ekonomi paling kompetitif

HANOI,. Singapura telah mengatasi Amerika Syarikat (AS) untuk tampil sebagai ekonomi paling kompetitif dalam Laporan Daya Saing Global terkini Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang dikeluarkan pada Rabu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Singapura memperoleh skor 84.8 mata berbanding AS yang mendapat 83.7 mata. Negara itu menduduki ranking pertama bagi infrastruktur, kesihatan rakyat dan pasaran buruh. Bidang lain yang mendapat markah tinggi termasuk sistem kewangan, kecekapan pasaran dan kestabilan makroekonomi.

Laporan itu mencadangkan untuk menjadi sebuah hab inovasi global, Singapura perlu mempromosi keusahawanan dan terus memperbaiki pangkalan kemahirannya.

AS jatuh ke tempat kedua dengan skor yang jauh lebih rendah berbanding 85.6 mata pada 2018.

Meskipun prestasi keseluruhan lebih lemah tahun ini, WEF berkata AS kekal sebagai antara ekonomi paling kompetitif di dunia.

Sementara itu, Hong Kong (China), Belanda dan Switzerland masing-masing menduduki tempat ketiga, keempat dan kelima.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This