Singapura tangguh projek T5 Lapangan Terbang Changi selama 2 tahun

Singapura tangguh projek T5 Lapangan Terbang Changi selama 2 tahun

SINGAPURA,. Singapura memutuskan untuk “menghentikan seketika selama dua tahun” untuk projek Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi berikutan ketidaktentuan mengenai trafik udara disebabkan situasi COVID-19, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

“Kami yakin trafik udara akan kembali; ketidaktentuannya ialah berapa cepat,” kata Khaw yang juga Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur Singapura dalam kemas kini terbaru di laman Facebook beliau hari ini.

Merujuk kepada unjuran penganalisis, katanya trafik udara akan kembali dalam tempoh dua hingga lima tahun.

“Kami melakukan kajian kami sendiri, melalui berunding dengan pakar dan pihak berkepentingan. Kami akan melakukan kajian yang menyeluruh mengenai permintaan perjalanan udara dan reka bentuk T5, termasuk kemungkinan mereka semula bahagian tertentu untuk memastikan perjalanan udara selamat.

“Oleh itu, keputusan menghentikan seketika selama dua tahun untuk pelaksanaan T5. Ini merupakan langkah yang wajar untuk dilakukan, berdasarkan situasi semasa,” tulis beliau.

Dalam catatannya, Khaw berkongsi mesyuarat dalam talian beliau dengan beberapa pakar dari kementerian, antara lain, membincangkan mengenai impak daripada COVID-19 ke atas projek-projek di Singapura seperti MRT, T5 dan Pelabuhan Tuas.

“Ternyata, terdapat kelewatan. Antaranya kekurangan pekerja pembinaan asing. Mengenai T5, terdapat kesukaran tambahan untuk menentukan kadar pemulihan penerbangan selepas COVID-19,” kata Khaw.

Dijadualkan siap pada 2030-an, T5 akan dapat mengendalikan sehingga 50 juta penumpang setahun dalam fasa awalnya.

— BERNAMA

Oleh Massita Ahmad

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )