Siri Dunia UCI: Azizulhasni juara keirin, petunjuk optimis kilauan emas Olimpik 2020
KUALA LUMPUR,. Di sebalik kilauan emas yang disumbang oleh kontinjen negara di Sukan SEA Filipina hari ini, sebutir lagi pingat emas telah dimiliki negara dalam temasya berbeza di New Zealand.
Terbaru, pelumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang membanggakan kem Malaysia selepas memenangi acara keirin pada Siri Dunia UCI di Cambridge pada Sabtu petang.
Kemenangan itu membuktikan beliau berada di landasan yang betul bagi mengejar pingat emas Olimpik di Tokyo, Jepun tahun hadapan.
Malaysia merangkul emas itu selepas mencatat masa 9.853 saat sekali gus menewaskan bekas juara dunia dari Rusia, Shane Perkins dan juara dunia Australia, Matthew Glaetzer yang mana masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Azizulhasni yang popular dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ memenangi gangsa pada Olimpik Rio 2016, mencatatkan masa 0.171 saat lebih pantas daripada Perkins dan 0.25 saat lebih pantas daripada Glaetzer.
Sementara itu, perlumbaan saingan Siri Dunia selepas ini akan berlangsung di Brisbane, Australia bermula 13 Disember ini.