Siswazah wanita utamakan gaji lebih baik, lelaki pilih kemajuan kerjaya

Siswazah wanita utamakan gaji lebih baik, lelaki pilih kemajuan kerjaya

KUALA LUMPUR,. Bagi kalangan wanita yang mencari pekerjaan pertama selepas memperoleh ijazah, mereka mengutamakan gaji dan bonus, diikuti kemajuan kerjaya, manakala keadaan sebaliknya menjadi pilihan kaum lelaki, menurut kaji selidik yang dikendalikan baru-baru ini oleh syarikat pengambilan pekerja khusus bagi siswazah, TALENTBANK.

Kaji selidik itu menunjukkan kedua-dua faktor itu antara lima faktor utama bagi mahasiswa yang mencari pekerjaan pertama mereka, selain peluang belajar dan kemajuan kerjaya, waktu kerja anjal di samping budaya syarikat yang mana keutamaan bagi kedua-dua gender adalah sama, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif TALENTBANK Ben Ho, dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Kaji selidik itu dikendalikan oleh syarikat pengambilan pekerja dengan 28,000 mahasiswa mengundi bagi Anugerah Tahunan Pilihan Siswazah (GCA) kali kedua, dengan mereka memilih Lima Jenama Majikan Paling Menarik — Maybank, Petronas, Maxis, Samsung dan PricewaterhouseCoopers (PwC).

Mahasiswa daripada lebih 100 universiti mengundi untuk memilih jenama majikan pilihan mereka daripada sejumlah 83 syarikat meliputi 23 kategori, mengiktiraf kecemerlangan dan kepelbagaian dalam landskap pengambilan siswazah, serta mengakui usaha syarikat dalam merapatkan jurang antara peserta industri dan siswazah.

Ho berkata jumlah besar undi bagi majikan tahun ini berbanding 11,000 tahun lepas menunjukkan mahasiswa mula menyedari kepentingan suara mereka dalam memberi isyarat kepada industri tentang kepentingan penjenamaan majikan.

“Daripada perspektif majikan, penyertaan lebih tinggi oleh mahasiswa merupakan petunjuk bahawa anak muda kini memberi lebih perhatian kepada apa yang dilakukan oleh syarikat untuk menjenamakan diri,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Majlis GCA 2019 diadakan pada Jumaat lepas di Sunway Hotel Resorts and Spa dan diserikan dengan kehadiran Pemegang Amanah Komuniti Pemuda Selangor (SAY), Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail dan Timbalan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin.

Ho berkata sejak awal 2019, lebih 28,000 siswazah dengan 55 peratus daripada mereka dari Lembah Klang dan 45 peratus dari negeri lain, mengundi untuk memilih majikan yang memenangi anugerah itu bagi tempoh tujuh bulan.

“Pemilihan berakhir dengan pemeriksaan audit yang menyaksikan 15 anggota lembaga dari pelbagai universiti menyemak keputusan untuk memastikan proses pemilihan yang adil,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This