SK Dalam Wang di Baling ditutup berkuat kuasa Ahad ini – KPM

SK Dalam Wang di Baling ditutup berkuat kuasa Ahad ini – KPM

KUALA LUMPUR,. Sekolah Kebangsaan Dalam Wang yang terletak di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah akan ditutup bermula 18 sehingga 31 Okt ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan malam ini berkata penutupan berkenaan selaras dengan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan PKPB di kawasan itu.

Menurut kenyataan itu penutupan sekolah itu melibatkan 22 guru dan anggota kumpulan pelaksana serta 214 murid.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah diarah untuk memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah,” menurut kenyataan itu.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Ismail Sabri hari ini mengumumkan pelaksanaan PKPB selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, selepas mendengar cadangan daripada MKN negeri Kedah mengenai situasi semasa COVID-19 di kampung berkenaan.

Sehingga 12 Okt, sebanyak 236 individu di Kampung Padang Che Mas disaring secara bersasar dan diberikan arahan kuarantin selama 14 hari di rumah dan memakai gelang kuarantin manakala 25 individu didapati positif COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This