SKDS: KPDN sedia pertimbang kes-kes khas bagi sektor pengangkutan tertentu

SKDS: KPDN sedia pertimbang kes-kes khas bagi sektor pengangkutan tertentu

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedia menimbangkan kes-kes khas bagi sektor pengangkutan tertentu dalam pelaksanaan Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS), Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata antara yang dipertimbangkan adalah lori pengangkut Roro di kawasan-kawasan petani dan pekebun kecil kelapa sawit.

“Insya-Allah kita telah kemukakan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi supaya mereka membuat engagement dengan pemegang taruh masing-masing, begitu juga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan akan bawa cadangan (mereka).

“Insya-Allah jika ia terkait dengan perkhidmatan barang keperluan yang digunakan oleh orang ramai secara meluas, kerajaan akan menimbangkan untuk mengemukakan pelan mitigasi dan intervensi. Saya amat mengalu-alukan sebagaimana yang disebutkan Yang Berhormat tadi sebarang kes-kes tertentu yang boleh kita santuni dan cari kaedah (untuk membantu),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkenaan keperluan memberikan bantuan itu kepada sektor pengangkutan lain yang terlibat dalam pertanian.

Armizan berkata buat masa ini, 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan layak memohon untuk mendapatkan SKDS.

Sementara itu, beliau berkata kementerian berkenaan akan meneruskan sesi libat urus dengan syarikat-syarikat minyak yang terlibat dengan fleet card untuk mempercepatkan pengeluaran ked berkenaan.

“Kita ambil maklum kekhuatiran Yang Berhormat (Kota Melaka) dan sedikit kerumitan yang dihadapi para pengguna disebabkan fleetcard dan kita akan terus bekerjasama dengan kelima-lima syarikat minyak untuk expediate, mempercepatkan pengeluaran fleetcard ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan tindakan yang diambil kerajaan bagi mengatasi masalah kelewatan bagi pengeluaran fleet card kepada pengguna, walaupun KPDN telah memberi kelulusan kepada pemohon bantuan itu.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This