Skim pencen tidak boleh dimansuhkan – Cuepacs

SHAH ALAM,. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak supaya kerajaan tidak memansuhkan skim pencen yang menjadi keistimewaan kepada penjawat awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, skim itu perlu dilihat sebagai bentuk sumbangan kepada pesara yang telah lama berkhidmat di dalam kerajaan khususnya bagi membantu ekonomi mereka.

“Kita menaruh harapan yang tinggi supaya kerajaan tidak melihat pemberian pencen sebagai satu bentuk perniagaan kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk dibayar kepada pesara.

“Sedangkan kos itu dapat ditampung melalui sumber-sumber lain dalam kerajaan dan jumlah RM30 bilion itu tidaklah terlampau tinggi jika dinilai dalam pelbagai aspek.

“Jadi Cuepacs berharap agar keputusan yang dilihat terburu-buru oleh kerajaan untuk memansuhkan pencen tidak diteruskan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Azih berkata, kerajaan juga diminta untuk tidak lagi melaksanakan lantikan secara kontrak bagi penjawat awam sebaliknya ia perlu dilantik secara tetap.

“Kami di pihak Cuepacs juga merayu agar tiada lagi lantikan kontrak (untuk penjawat awam) kerana keadaan ini sangat menyukarkan kakitangan kerajaan khususnya dalam membuat pinjaman perumahan, kereta dan sebagainya.

“Bayangkan jika lantikan kontrak itu dibuat dalam tempoh dua atau tiga tahun, pihak kewangan atau bank mana yang sanggup untuk memberikan pinjaman dan keadaan itu pastinya membuatkan mereka (kakitangan kerajaan) terus berada dalam dilema,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )