Skuad B-15 negara beri amaran awal

KUALA LUMPUR,. Skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara melaungkan amaran awal kepada Laos dan Jepun apabila membuka saingan Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 dengan membelasah Kemboja 7-0 di Stadium Nasional Laos, Vientiane, malam ini.

Skuad negara ternyata menguasai permainan apabila hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan apabila skuad bimbingan P. Maniam dihadiahkan sepakan penalti selepas Akid Mohd Zamri dijatuhkan oleh penjaga gol Kemboja, Heng Ratanakbandith.

Muhammad Adam Uwais Mohd Armi dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut sebelum Adam Farhan Mohd Faizal memperoleh gol kedua menerusi rembatan kencangnya menerjah gawang Kemboja pada minit ke-16.

Kesilapan pertahahan lawan membuahkan hasil apabila Akid mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol ketiga negara pada minit ke-22 sebelum sekali lagi menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-30 untuk meletakkan kedudukan Malaysia 4-0 pada separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Malaysia terus melancarkan serangan dengan gawang Kemboja terus menjadi sasaran apabila Muhammad Harry Danish Mohd Haizon menjaringkan gol kelima menerusi tandukan selepas tandukan pertamanya terkena palang pada minit ke-52.

Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin meledak gol keenam negara pada minit ke-64 sebelum Mohamad Khairil Mohd Zain menutup tirai jaringan pada minit terakhir perlawanan.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan dengan pasukan tuan rumah, Laos, Jumaat ini sebelum menutup pusingan kelayakan menentang Jepun, Ahad ini.

Mengikut format pertandingan, juara daripada 11 kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik akan layak ke pusingan final di mana tuan rumah belum diumumkan oleh AFC.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )