Skuad B-23 harungi fasa pertama kem latihan tanpa Maloney

Skuad B-23 harungi fasa pertama kem latihan tanpa Maloney

PETALING JAYA,. Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan semalam memulakan kem latihan pusat tanpa kelibat ketua jurulatih Brad Maloney dan lapan pemain termasuk Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal yang belum melapor diri.

Kem latihan pusat itu adalah persiapan pasukan dalam menghadapi kempen Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja, bulan depan.

Penolong ketua jurulatih Khan Hung Meng berkata Maloney sedang menjalani kuarantin dan dijangka mengambil alih sesi latihan selewat-lewatnya 3 Febuari depan, sementara pasukan masih berunding mengenai Wan Kuzri susulan masalah peribadi dihadapi pemain berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

Hung Meng berkata tujuh pemain yang tidak dapat melapor diri disebabkan menjalani tempoh latihan pramusim dan kelab-kelab memerlukan mereka dijangka menyertai pasukan 6 Febuari depan.

“Buat masa sekarang 23 pemain melapor diri. Brad (Maloney) telah beri segala arahan berhubung latihan sepanjang ketiadaannya dan kita mengikut aturannya dan beliau konsisten dalam perbincangan menerusi Zoom,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini pada Khamis.

Pengarah Teknikal baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Scott O’Donnell turut hadir memberikan kata-kata semangat kepada barisan pemain sebelum latihan bermula.

Selain Wan Kuzri, tujuh pemain yang belum melapor diri adalah empat dari Sabah FC iaitu Mohd Nureizkhan Isa Japar, Gerald Gadit, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim dan Azhar Harraz Arman serta tiga pemain Petaling Jaya (PJ) City FC terdiri daripada Zainal Abidin Jamil, A. Shivan Pillay dan V. Ruventhiran.

Seorang pemain dalam senarai simpanan iaitu K. Thivandaran dari Penang FC turut dipanggil sekali gus melengkapkan 23 pemain yang melapor diri pada hari pertama kem latihan itu.

Sementara itu, Hung Meng berkata skuad B-23 negara akan bermain tiga perlawanan persahabatan masing-masing menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 5 Feb, manakala aksi sama ada menentang Kedah Darul Aman FC atau Skuad Projek FAM-MSN (8 Febuari) dan Kuala Lumpur City FC (10 Febuari).

Skuad B-23 kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan B dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Febuari sebelum memulakan kempen menentang Myanmar dalam aksi pembukaan di Stadium Prince pada 15 Febuari.

Anak buah Maloney kemudian akan berdepan Laos pada 18 Febuari di venue sama dan bertemu Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Febuari.

Tiga juara kumpulan dan pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Febuari manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 26 Febuari.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This