Skuad Harimau Malaya benam Hong Kong dengan bergaya

Skuad Harimau Malaya benam Hong Kong dengan bergaya

KUALA LUMPUR,. Malaysia mencatat dua kemenangan berturut-turut menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 selepas mengatasi pasukan di ranking lebih tinggi, Hong Kong 2-0 pada perlawanan persahabatan antarbangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini.

Muhammad Safawi Rasid meletakkan skuad Harimau Malaya di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama sebelum pemain gantian Safiq Rahim menjaringkan gol kedua pasukan negara menerusi sepakan percuma pada minit ke-90.

Kejayaan disaksikan kira-kira 19,075 penonton yang hadir ke stadium itu merupakan kemenangan pertama pasukan negara ke atas Hong Kong sejak 2012, selain ia kemenangan yang diperlukan skuad bimbingan Kim Pan Gon sebelum menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia bermula minggu depan.

Segar dengan kemenangan 4-0 ke atas Brunei di sini Jumaat lepas, anak buah Pan Gon turun berkeyakinan tinggi dan berusaha mengekalkan dominasi permainan sepanjang babak pertama dengan dua pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid beraksi cemerlang.

Keghairahan Malaysia memburu gol menyaksikan mereka dua peluang tercipta seawal 10 minit pertama, namun rembatan Muhamamd Safawi dihalang pertahanan lawan pada minit keenam sebelum La’vere Lawrence Corbin Ong gagal menyambar hantaran lintang rakan sepasukan pada minit kelapan.

Jaringan ditunggu-tunggu pasukan negara hadir pada minit ke-31 selepas Muhammad Akhyar dijatuhkan Fung Hing Wa dalam kotak penalti yang menyaksikan Muhamamd Safawi tenang melepaskan rembatan ke kiri gawang menewaskan penjaga gol Paulo Cesar Da Silva Argolo.

Menghampiri waktu rehat, Malaysia terlepas peluang keemasan untuk menggandakan jaringan selepas penyerang Darren Lok yang berjaya melepaskan diri dari kawalan pertahanan gagal menanduk kemas bola ke gawang.

Bersambung babak kedua, pasukan negara memulakan permainan dengan garang dan hampir meledak gol kedua, namun Darren sekali lagi kecewa selepas tampanannya gagal menewaskan Paulo Cesar pada minit ke-49.

Malaysia sekali lagi mensia-siakan peluang terhidang untuk menambah jaringan apabila Akhyar Rashid yang berjaya menggelecek penjaga gol gagal melepaskan rembatan tepat ke arah gol pada minit ke-53.

Di pertengahan babak kedua, Pan Gon membuat pertukaran dengan membawa masuk beberapa pemain antaranya Safiq, yang akhirnya berjaya membantu pasukan negara di ranking ke-154 meraih kemenangan selesa berdepan Hong Kong di ranking ke-147.

Sepakan percuma Safiq terkena benteng sekali gus menyaksikan Paulo Cesar gagal menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi buat kali kedua.

Pelawanan persahabatan tersebut juga merupakan aksi pemanas badan terakhir sebelum skuad kebangsaan membuka tirai Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional menentang Turkmenistan, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Sementara Hong Kong akan menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia menentang tuan rumah India, Afghanistan dan Kemboja dalam saingan Kumpulan D bulan ini.

Sebagai rekod, Malaysia seri 1-1 dan tewas 0-2 dalam dua pertemuan terakhir berdepan Hong Kong pada pusingan kelayakan Piala Asia 2019 pada 2017 yang ketika itu Hong Kong dikendalikan Pan Gon.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This