Skuad Rusa ditagih cemerlang saingan Liga-M 2020
SEREMBAN,. Selepas gagal menempatkan diri untuk bersaing dalam Liga Super 2020, skuad Negeri Sembilan ditagih agar membuat persiapan rapi bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), mahu pihak pengurusan memikirkan daripada sekarang, hala tuju pasukan dalam misi memberi saingan lebih bermakna dalam kempen Liga-M musim 2020.
“Prestasi skuad Rusa musim ini tidak begitu memberangsangkan, pengurusan pasukan perlu membuat perancangan dengan menyusun semula barisan pegawai dan pemain untuk memperkuatkan pasukan. Jika penyusunan dibuat dengan baik, saya yakin kita akan membawa pulang (sebarang) piala musim depan.
“Saya menaruh harapan skuad Rusa mampu kembali beraksi dengan cemerlang. Pengurusan pasukan diharap cuba dapatkan barisan pemain dan jurulatih bersesuaian, untuk memberi cabaran dalam saingan musim hadapan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian tajaan berjumlah RM2 juta daripada syarikat permaidani, Carpet Prima Sdn Bhd (Carpet Prima) di sini, hari ini.
Tajaan itu disampaikan pemilik Carpet Prima, T. Deepak kepada Tunku Besar Tampin yang juga Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri pada satu majlis ringkas di Wisma Negeri. Turut hadir Timbalan Presiden PBNS Datuk Dr Razali Ab Malik yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri.
Selepas mengharungi 20 perlawanan dalam saingan Liga Premier musim ini, Negeri Sembilan berada di kedudukan keenam apabila mengumpul 29 mata.
Sementara itu, Tunku Syed Razman berkata PBNS mengalu-alukan sebarang tajaan bagi merancakkan pembangunan bola sepak di negeri ini.
Beliau berharap lebih banyak pihak sama ada individu mahupun syarikat akan tampil menyalurkan sumbangan dengan hasrat untuk melihat bola sepak negeri ini terus meningkat ke tahap lebih baik.
Mengenai tajaan RM2 juta itu, beliau berkata ia akan digunakan sepenuhnya untuk keperluan pembangunan PBNS bagi memastikan pasukan Hobin Jang Hobin kembali cemerlang menjelang saingan musim akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Syed Razman berkata penyanyi berasal dari negeri ini, Ito Blues Gang telah bersetuju untuk menghadiahkan sebuah lagu khusus untuk skuad Negeri Sembilan.
Katanya lagu itu akan dicipta untuk menyemarakkan lagi semangat penyokong skuad Rusa dalam kempen Liga-M akan datang.
— BERNAMA