Slim Memilih: Pusat penamaan calon mula dibuka 8 pagi

TANJUNG MALIM,. Pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Sri Tanjung, di sini dibuka pada pukul 8 pagi bagi proses penamaan calon.

Proses penamaan calon akan bermula jam 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Bagaimanapun hanya calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka dibenarkan masuk ke dalam dewan utama bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Selepas proses tersebut tamat pada pukul 10 pagi, Pegawai Pengurus PRK Shamsul Ridzuan Idris akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding selewat-lewatnya pada pukul 11 pagi.

Selepas PRK DUN Chini pada bulan lepas, PRK DUN Slim juga menyaksikan proses penamaan calon dan pengundian akan diadakan mengikut kebiasaan baharu.

Selain itu, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, penyokong parti dilarang berkumpul di dalam pusat penamaan calon, dan tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan.

Khemah-khemah khas turut ditempatkan di sekitar pekarangan pusat penamaan calon dengan dibantu oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia sebagai langkah persediaan sekiranya terdapat calon, penyokong, atau pencadang, mempunyai gejala COVID-19.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan ia menjadi ‘ujian kedua’ buat kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak mula terbentuk pada Februari lalu.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Seramai 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK ini.

Daripada jumlah tersebut, 22,815 ialah pengundi biasa, 277 pengundi awal polis, dan dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )