SLS dilantik sebagai penyedia perkhidmatan pengantaraan untuk orang awam

SLS dilantik sebagai penyedia perkhidmatan pengantaraan untuk orang awam

KOTA KINABALU,. Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan perkhidmatan mediasi menerusi pengantaranya yang terlatih dan bertauliah kepada orang awam di bawah Pusat Mediasi COVID-19 yang baru dibentuk, berkuat kuasa serta-merta.

Mengumumkan pelantikan itu, Presiden SLS Roger Chin berkata ia selaras dengan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) yang berkuat kuasa pada 23 Okt lepas bagi memberi manfaat kepada individu dan syarikat yang terjejas secara ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Pusat mediasi itu ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan pertikaian jika kewajipan kontrak tertentu tidak dapat dipenuhi susulan pandemik COVID-19. Pengantaraan yang dijalankan adalah terbuka untuk semua dengan jumlah pertikaian dihadkan kepada RM300,000 dan ke bawah di mana pihak yang bersengketa boleh cuba menyelesaikan masalah tanpa membabitkan perbicaraan di mahkamah.

“Bagi mereka yang layak, pada dasarnya kumpulan B40 dan M40, kerajaan akan mensubsidi kos pengantaraan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Chin berkata pertikaian yang boleh dilakukan pengantaraan, selaras dengan Jadual Bahagian II akta itu, adalah kontrak kerja-kerja pembinaan atau kontrak perundingan pembinaan dan mana-mana kontrak lain berkaitan pembekalan bahan, peralatan atau pekerja pembinaan.

Beliau berkata bon prestasi atau setara yang diterbitkan berdasarkan kontrak pembinaan atau kontrak pembekalan; kontrak perkhidmatan profesional; pajakan atau sewa harta tak alih bukan kediaman; kontrak oleh perusahaan pelancongan; dan kontrak berkaitan ziarah agama juga terbuka untuk pengantaraan.

Ini termasuk kontrak acara bagi penyediaan mana-mana venue, penginapan, kemudahan, pengangkutan, hiburan, katering atau barangan atau perkhidmatan lain, termasuk mana-mana mesyuarat perniagaan, perjalanan insentif, persidangan, pameran dan acara jualan, konsert, pertunjukan, perkahwinan, majlis atau perhimpunan sosial lain atau acara sukan, untuk peserta, hadirin, tetamu, pelanggan atau penonton dalam perhimpunan atau acara, katanya.

Chin berkata berdasarkan perkembangan ini dan bagi memenuhi peningkatan permintaan untuk pengantara berkelayakan, SLS akan memperkukuh barisan pengantaranya yang sudah layak dengan mengadakan kursus latihan pengantaraan lanjut.

Katanya orang ramai digalakkan melayari laman sesawang rasmi di www.pmc19.gov.my untuk maklumat lanjut berhubung perkhidmatan yang disediakan, bagaimana mendapatkan perkhidmatan tersebut dan memeriksa kelayakan mereka untuk pengantaraan bersubsidi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This