SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan bertemu lagi untuk tempat ketiga, keempat

SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan bertemu lagi untuk tempat ketiga, keempat

JOHOR BAHRU,. Malaysia memperoleh tonik terbaik untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen kejohanan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di kedudukan ketiga selepas berjaya menewaskan Jepun 3-2 pada perlawanan terakhir saingan liga di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam tadi.

Ia berikutan anak buah Nur Saiful Zaini Nasiruddin itu sekali lagi akan membuat perhitungan bertemu skuad muda Jepun itu hari ini, untuk penentuan tempat ketiga/keempat, selepas pasukan lawan menduduki tangga keempat dengan kelebihan jaringan berbanding New Zealand setelah masing-masing mengumpul enam mata.

Pada aksi malam tadi, Malaysia memperoleh gol sulung hasil jaringan padang Muhammad Hafizi Zainudin seawal minit kelima, namun Jepun bangkit meledak dua gol pada minit kelapan dan ke-12, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sota Ukai serta jaringan padang Ryuji Tamekuni.

Ketika skuad negara berdepan tekanan, Muhammad Amirul Hamizan muncul wira apabila menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-42 dan jaringan padang pada minit ke-50.

Kejayaan menumpaskan Jepun itu juga sekali gus memberi peluang kepada skuad muda negara yang menghuni tempat ketiga selepas mengumpul tujuh mata untuk memperbaiki rekod edisi tahun lepas dengan menamatkan cabaran di kedudukan kelima.

Sementara itu, finalis tahun lepas, Great Britain dan India yang masing-masing mengumpul 10 mata setelah terikat 3-3 pada aksi di venue yang sama petang tadi, akan bertemu sekali lagi dalam aksi final, malam esok.

Pada aksi sengit itu, juara bertahan, Great Britain terlebih dahulu memperoleh gol pada minit ke-27 hasil pukulan sudut penalti Ioan Wall, sebelum Andrew McConnell menambah jaringan pada minit ke-32 menerusi gol padang.

Tidak berputus asa, India melakukan serangan balas dan berjaya menghasilkan gol padang pada minit-48 melalui Shilanand Lakra dan berjaya menyamakan kedudukanj dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 melalui Mandeep Mor sebelum menambah satu lagi gol, juga melalui pukulan sudut penalti Nand Tiwari Sharda pada minit ke-57.

Ketika India yang muncul naib juara tahun lepas berada di ambang kemenangan, Matthew Ramshaw menjadi pemusnah apabila meledak gol ketiga Great Britain seminit sebelum perlawanan berakhir, sekali gus mengikat India dengan keputusan 3-3.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This