Sokongan UMNO Sabah terhadap GRS dihargai – Ronald Kiandee

Sokongan UMNO Sabah terhadap GRS dihargai – Ronald Kiandee

Oleh: Mohd Ridzal Abdullah

 

Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pihaknya menghargai komitmen disuarakan UMNO Sabah menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersandarkan dengan mandat diberikan oleh rakyat Sabah kepada GRS mengambil alih pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September tahun lalu.

“Sokongan UMNO Sabah terhadap kerajaan GRS seperti dijelaskan parti itu dalam satu kenyataan malam tadi diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, di Parlimen bulan depan,” kata Ronald.

“Kita mengalu-alukan pendirian UMNO Sabah untuk menyokong GRS dan tentu sekali kita juga mengharapkan agar UMNO Sabah akan terus menyokong pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri apabila usul undi percaya dikemukakan di Parlimen nanti,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), dekat sini, hari ini.

Setakat semalam, seorang Ahli Parlimen UMNO Sabah, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) dilaporkan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedia ada dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sokongan itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) semalam.

Sementara itu, Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata tindakan pelbagai pihak menyatakan sokongan atau menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri yang disuarakan sejak kebelakangan ini hanya memberi kesan apabila usul undi percaya dibentangkan di Parlimen.

Jelasnya, semua pihak boleh menyatakan sokongan atau sebaliknya terhadap Muhyiddin, namun keputusan akhir mengenai sama ada Perdana Menteri masih mempunyai sokongan atau tidak untuk memimpin kerajaan PN ditentukan menerusi usul undi percaya.

“Jadi apa keputusan akhir, sama ada pimpinan Tan Sri (Muhyiddin) dapat sokongan atau tidak, akan ditentukan dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Mengenai perletakan jawatan dua menteri dari UMNO dalam barisan Kabinet PN, Ronald sekali lagi menegaskan bahawa sokongan yang penting adalah melalui usul percaya yang akan dikemukakan di Parlimen pada bulan September.

 

CATEGORIES
TAGS
Share This