
Solskjaer yakin Man Utd teruskan momentum positif
LONDON,. Pengurus Manchester United (MU) Ole Gunnar Solskjaer yakin pasukannya akan meneruskan kecemerlangan mereka apabila Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung semula pada hujung bulan ini.
Liga utama England akan kembali beraksi dalam masa dua minggu lagi selepas tidak ada aktiviti selama beberapa bulan disebabkan oleh COVID-19.
MU bakal menyambung semula musim dalam perlawanan di Tottenham Hotspur pada 19 Jun – perlawanan pertama mereka sejak mereka menewaskan LASK 5-0 dalam Liga Europa pada 12 Mac lalu.
Kemenangan di Austria itu melanjutkan siri tanpa kalah MU kepada 11 perlawanan dan Solskjaer tidak ada keraguan tentang apa yang mesti dilakukan oleh pasukannya untuk bersiap-sedia dalam usaha mereka yang berterusan untuk layak ke Liga Juara-Juara pada musim akan datang.
“Perlawanan pertama akan berlangsung dua minggu dari hari ini, jadi kita perlu mempertingkatkan latihan dan mendapatkan kelebihan semula dalam permainan kita,” kata Solskjaer dalam laman sesawang MU kelmarin.
“Semua orang tahu kita perlu bermain pada tahap terbaik, perlu fokus (dalam perlawanan menentang Tottenham).
“Kita tahu ia adalah perlawanan yang penting bagi semua. Kita menentang Chelsea ketika kita memulakan liga pada musim ini, jadi saya yakin pemain kita dapat memulakan perlawanan menentang Tottenham dengan mentaliti untuk pergi ke sana dan mempamerkan perlawanan bola sepak yang sangat bagus.”
Ekoran perlawanan menentang Spurs, MU berdepan dengan dua lagi kelab yang mahu bermain pada peringkat Eropah, Sheffield United, di Old Trafford pada 24 Jun sebelum mereka bertandang ke Brighton pada 30 Jun – selepas perlawanan suku akhir Piala FA di Norwich pada 27 Jun.
Bagaimanapun Solsjkaer, bekas penyerang MU, berkata skuadnya telah bersiap-sedia untuk jadual perlawanan yang padat.
“Latihan adalah mengenai mengimbau apa yang kita telah buat dengan baik, mungkin mengubah satu dua perkara dan melihat beberapa idea baharu, tetapi kita harap kita dapat melihat kebanyakan perkara yang kita lihat sebelum sekatan pergerakan dikuatkuasakan.
“Kita ada perlawanan pada hujung minggu, pertengahan minggu, hujung minggu buat seketika, jadi kita perlu fokus kepada diri sendiri dan bukan hanya kepada perlawanan pertama yang satu itu,” tambah warga Norway itu, dengan MU yang berada tiga mata di bawah kelompok empat kelab teratas ketika COVID-19 menggantung musim ini.
“Sedikit demi sedikit sekarang, selepas kita memulakan latihan kontak, anda dapat melihat lebih banyak kelebihan tetapi juga keakraban dan jalinan pasukan.
“Itu amat penting bagi saya dalam sesebuah pasukan. Ia merupakan salah satu perkara utama, bahawa kita adalah sebuah pasukan dan pasukan didahulukan sebelum semua perkara lain.” — AFP