Sorok 10kg syabu dalam bungkusan teh Cina

Sorok 10kg syabu dalam bungkusan teh Cina

BENTONG,. Helah seorang lelaki menyembunyikan kira-kira 10.3 kilogram (kg) dadah disyaki syabu dianggarkan bernilai RM488,788 di dalam bungkusan teh Cina terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di depan sebuah restoran di Genting Highlands di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata lelaki berumur 48 tahun itu ditahan kira-kira 7.45 malam semasa berada di dalam kereta dan dipercayai ia sebahagian daripada sindiket pengedaran yang lebih besar.

“Suspek dipercayai menyembunyikan dadah berkenaan di dalam 10 bungkusan teh cina bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum disorokkan di dalam sebuah beg berwarna hitam.

“Kita percaya suspek aktif mengedar di sekitar Bentong dan Kuala Lumpur sejak enam bulan lepas, dengan dadah berkenaan diperoleh dari luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini, semalam.

Abd Jalil berkata dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh dijual kepada 20,776 penagih.

Suspek yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu turut mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk tujuh melibatkan kesalahan dadah selain ujian urinnya juga didapati positif.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula 11 Disember lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

“Berdasarkan tangkapan ini, kita tidak menolak kemungkinan penjenayah mula menggunakan tempat peranginan di negeri ini bagi melakukan kegiatan mereka.

“Sehubungan itu, kita meminta pemilik atau pengusaha pusat peranginan membuat aduan jika mengesyaki ada berlaku kegiatan jenayah selain orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat sebagai usaha membasmi jenayah,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )