Sorok dadah dalam barang keagamaan: Sindiket dadah antarabangsa tumpas

Sorok dadah dalam barang keagamaan: Sindiket dadah antarabangsa tumpas

KUALA LUMPUR,. Sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan taktik menyorokkan dadah dalam barang keagamaan tumpas apabila polis menahan 12 lelaki termasuk warga Taiwan dan seorang wanita di sekitar Lembah Klang, Isnin lepas.

Semakan polis mendapati lelaki warga Taiwan berusia 30 tahun itu merupakan dalang sindiket yang aktif sejak November tahun lepas dan berperanan sebagai ahli kimia untuk memproses dadah jenis ketamin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razaruddin Husain berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menyerbu sebuah syarikat kurier di Cheras dan menemui lima kotak yang diisytihar mengandungi tikar sejadah pelbagai warna untuk dihantar ke Indonesia.

“Pemeriksaan di dalam kotak menemukan ketulan kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 4.12 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

“Susulan siasatan lanjut, kami manahan 13 individu di enam lokasi sekitar Kuala Lumpur serta Selangor termasuk dua makmal memproses dadah, dan merampas pelbagai jenis dadah serta bahan kimia di samping peralatan dipercayai untuk memproses dadah.

“Hasil tangkapan ini, kami berjaya merampas dadah jenis ketamin, syabu, erimin 5 dan ekstasi dianggarkan berat 96.1 kg dengan nilai kira-kira RM4.9 juta,” katanya.

Razaruddin berkata, modus operandi sindiket itu menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedarkan dadah di pasaran antarabangsa, antaranya di New Zealand, Korea Selatan, Indonesia dan Taiwan.

“Semakan mendapati suspek warga Taiwan itu dikehendaki oleh pihak berkuasa negaranya atas kesalahan mencuri dan cubaan bunuh… kami akan bekerjasama dengan polis di sana untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati 12 daripada mereka yang ditahan itu positif dadah dan 10 orang mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 35 tahun itu direman hingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This