Speedy Tigers Menang Bergaya Tundukkan Perancis 4-2

Speedy Tigers Menang Bergaya Tundukkan Perancis 4-2

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan cabaran di Siri Jelajah Belgium dengan penuh bergaya apabila menundukkan Perancis 4-2 pada aksi yang berlangsung di Waterloo Ducks Hockey Club, di Waterloo, Belgium semalam.

Meskipun skuad kendalian A. Arul Selvaraj ketinggalan seawal minit keenam perlawanan apabila Perancis membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti, Speedy Tigers bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan sudut penalti pada minit ke-17 oleh Muhammad Razie Abd Rahim.

Perancis terus merobek gawang Speedy Tigers menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22 sebelum Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyamakan kedudukan pada minit ke-28.

Skuad hoki negara yang mula mendapat rentak terus mengasak gawang lawan dengan meledak jaringan padang menerusi Muhamad Ramadan Rosli pada minit ke-45 dan Muhammad Razie menoktahkan kemenangan skuad kebangsaan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-54.

“Perancis lebih menguasai perlawanan 57 peratus berbanding kita (Malaysia) 43 peratus namun kami dapat apa yang kami mahu iaitu kemenangan,” kata Arul Selvaraj menerusi video yang dikongsi oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Arul Selvaraj berkata selepas pulang ke Malaysia, skuad itu akan membuat persiapan untuk kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022.

Malaysia yang berada di ranking ke-10 dunia sebelum ini menundukkan tuan rumah Belgium 1-0 pada 27 Sept lepas sebelum dibelasah 0-7 oleh Belgium pada hari berikutnya (28 Sept).

Semalam, anak buah Arul Selvaraj tewas tipis 2-3 kepada Perancis yang berada pada ranking ke-11 dunia.

Siri Jelajah Belgium adalah bagi mempersiapkan skuad negara menjelang Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh, Perak, dari 1 hingga 10 Nov ini dan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Januari depan.

– Bernama

CATEGORIES
Share This