SPM 2021: 55.29 peratus lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran

SPM 2021: 55.29 peratus lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 55.29 peratus atau 211,334 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di seluruh negara lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan itu yang keputusannya diumumkan hari ini.

Di KUALA LUMPUR, seramai 13,761 atau 87.88 peratus calon layak memperoleh sijil SPM, dan 11 calon memperoleh keputusan A+ dalam semua mata pelajaran manakala 475 calon atau 3.03 peratus memperoleh minimum A- dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Norhayati Ab Wahab berkata indeks Gred Purata Negeri (GPN) Wilayah Persekutuan pada 2021 adalah 4.81 mata.

Di JOHOR, seramai 30 calon di negeri itu memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran sekali gus menjadikan Johor sebagai negeri tertinggi di seluruh negara memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Md Said Md Daimon berkata seramai 1,122 calon SPM di negeri itu berjaya memperoleh keputusan Cemerlang Minima A- (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki manakala 53 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus.

Di PERAK, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Rahimah Mohamed berkata seramai 787 daripada 28,817 calon negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran, dengan 17 calon memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Di KELANTAN, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan negeri Mohamad Ab Wahab berkata enam calon di negeri itu mendapat A+ dalam keseluruhan subjek dan 213 calon mendapat sekurang-kurangnya A- bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Katanya, Kelantan mencatat GPN 5.10 manakala daripada 51 sekolah di negeri itu yang mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) melebihi GPN, Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra mencatat GPS terbaik iaitu 1.95.

Di PAHANG, Pengarah Pendidikan negeri Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata sejumlah 15,039 daripada 17,528 calon berdaftar layak menerima sijil, dengan 300 calon daripada jumlah itu cemerlang memperoleh semua A manakala 24 calon Orang Asli turut cemerlang dengan sekurang-kurangnya 5A.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Md Fiah Md Jamin berkata seramai 512 daripada 14,868 calon di negeri itu memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dan 10 calon di tujuh sekolah di negeri itu memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran diambil.

“Negeri Sembilan mencatatkan GPN dengan 4.62 mata menunjukkan sedikit penyusutan iaitu 0.12 mata berbanding 4.5 pada 2020,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2021 peringkat negeri di SMK King George V di sini, hari ini.

Di KEDAH, Pengarah Pendidikan negeri Rozaini Ahmad berkata seramai 383 iaitu 1.52 peratus calon sekolah kerajaan berjaya memperoleh Minima A- bagi semua mata pelajaran yang diduduki dan sejumlah 10 calon pula mendapat gred A+ dalam kesemua mata pelajaran manakala GPN negeri itu ialah 5.14.

Di TERENGGANU, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Abdul Muie Ngah berkata seramai 321 pelajar mendapat A (A-, A, A+) dalam semua mata pelajaran yang diambil dan tujuh calon memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran manakala GPN negeri pula ialah 4.72.

Di SABAH, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Tah Nia Jaman ketika mengumumkan keputusan SPM 2021 di SMK Agama Kota Kinabalu berkata 253 calon cemerlang dengan memperoleh Gred A (A+, A dan A-) manakala GPN pula ialah 5.35 dan 89.76 peratus calon layak mendapat sijil.

Di PULAU PINANG, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Wan Sajiri Wan Hassan berkata sebanyak 22 sekolah di negeri itu mencapai keputusan 100 peratus lulus dengan semua calon layak mendapat sijil manakala 17 calon pula cemerlang dengan keputusan semua A+ dalam mata pelajaran diduduki.

Wan Sajiri berkata SMK Bukit Jambul yang mencapai keputusan 100 peratus lulus dalam peperiksaan itu dipilih sebagai sekolah terbaik di negeri berkenaan dengan GPS 1.83.

Sementara itu, di PERLIS Pengarah Pendidikan negeri Naharudden Othman berkata GPN negeri itu ialah 4.99 dengan 88.35 peratus daripada 3,115 calon layak mendapat sijil dengan 39 calon berjaya memperoleh gred A (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran manakala dua calon mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran.

Di SARAWAK, Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad berkata seramai 29,166 atau 88.29 peratus calon layak menerima sijil dengan seramai 12 calon mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran manakala GPN pula ialah 5.17.

Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Rohayati Abd Hamed berkata daripada 74,519 calon SPM 2021 di negeri itu, seramai 1,803 calon berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Di MELAKA, seramai 257 atau 2.30 peratus daripada 13,251 calon di negeri itu mendapat semua A (A+, A dan A-) dalam mata pelajaran yang diambil manakala 10.197 calon (91.3 peratus) pula layak mendapat sijil, kata Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Rosni Leman.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )