SSPCA cadang buka klinik pemandulan kucing, anjing atasi rabies

KUCHING,. Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA) Sarawak bercadang membuka klinik pemandulan berkos rendah untuk kucing dan anjing peliharaan orang ramai tahun ini bagi membantu membanteras penyakit rabies.

Presiden SSPCA Sarawak, Datin Donna Drury-Wee berkata klinik itu juga diharapkan dapat membantu orang ramai yang kurang berkemampuan membawa haiwan peliharaan mereka ke klinik haiwan swasta bagi dimandulkan.

“Ini (klinik pemandulan berkos rendah) sudahpun mendapat kelulusan secara prinsipnya dari (Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan II Sarawak), Datuk Amar Douglas Uggah dan (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke rumahnya sempena perayaan Tahun Baharu Cina di sini, pada Ahad.

Beliau berkata hanya dengan memandulkan haiwan peliharaan terbabit baharulah populasi anjing dan kucing liar di jalanan negeri ini dapat dikurangkan dan seterusnya membantu pihak berkuasa mengawal penyakit rabies daripada merebak.

“Rabies juga didapati menyerang setiap kali musim mengawan. Ini kerana ketika itulah haiwan peliharaan terbabit keluar dan berkelahi sesama sendiri semasa berebut pasangan dan juga menyebarkan penyakit terbabit,”katanya.

Sehubungan itu, Donna menyeru orang ramai di negeri ini untuk menghantar haiwan peliharaan mereka itu ke klinik itu yang akan dikendalikan sukarelawan veterinar dan selain di bandar, mereka juga akan dihantar dan membuka klinik itu di pekan-pekan kecil negeri ini.

“Ini kerana ketika operasi vaksinasi rabies (di seluruh negeri ini sebelum ini ), Jabatan Veterinar memberitahu kami yang ada banyak rumah panjang (di luar bandar) telah meminta perkhidmatan memandulkan haiwan peliharaan itu,”katanya.

Menurutnya pihaknya juga akan mendapatkan peruntukan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membuka klinik pemandulan berkos rendah terbabit di seluruh Sarawak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )