Stadium Sultan Ibrahim dipilih tuan rumah Spartan Stadion

Stadium Sultan Ibrahim dipilih tuan rumah Spartan Stadion

JOHOR BAHRU,. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat sejarah baharu apabila Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai tuan rumah acara Spartan Stadion yang pertama di Malaysia.

Kelab itu dalam satu kenyataan memaklumkan acara itu melibatkan perlumbaan sejauh lima kilometer dengan 20 rintangan, dan akan berlangsung pada 3 dan 4 Sept depan.

Menurut kenyataan itu, pemilihan stadium ikonik yang mendapat anugerah “Stadium of the Year” oleh StadiumDB.com membuktikan kemampuan JDT dalam menarik minat dan kolaborasi dengan pelbagai lagi jenama antarabangsa.

Sebelum ini, beberapa jenama antarabangsa sudah menjalin kerjasama dengan kelab berkenaan, termasuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Nike, Hublot, Swag Electric Vehicle dan Subway.

“Kerjasama dengan jenama antarabangsa memperluaskan lagi nilai dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global dan ini menjana pendapatan diperoleh melalui penajaan kerana semakin besar jenama JDT, semakin besar pulangan pelaburan bagi penaja,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, JDT juga percaya bahawa acara Spartan Stadion itu akan memperkukuhkan lokasi Stadium Sultan Ibrahim di peta dunia memandangkan ia dijangka menarik perhatian peminat dari dalam dan luar negara.

Spartan Stadion merupakan satu daripada sembilan acara sukan dianjurkan oleh Spartan Race – sebuah platfrom sukan ekstrem yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada tahun 2007 sebelum berkembang ke lebih 30 negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )