STAR mungkin tidak bertanding di PRK Batu Sapi

STAR mungkin tidak bertanding di PRK Batu Sapi

SANDAKAN, 16 Okt — Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mungkin tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Dis depan, kata Presidennya Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini.

Ketika dihubungi di sini, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu memberikan jawapan ringkas “mungkin tidak” (bertanding) apabila ditanya sama ada parti itu akan meletakkan calon di kerusi Parlimen Batu Sapi pada PRK itu.

Keputusan STAR untuk tidak meletakan calon pada PRK itu selari dengan keputusan rakan partinya Barisan Nasional dan lawan mereka Pakatan Harapan serta Parti Cinta Sabah yang memutuskan untuk tidak bertanding.

Ini berikutan kebimbangan situasi semasa penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat, khususnya di daerah Sandakan, iaitu kawasan terletaknya Parlimen Batu Sapi, yang merupakan zon merah dengan 459 kes aktif dicatat sehingga semalam.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah pada 2 Okt lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pencalonan PRK itu diadakan pada 23 Nov dan pengundian awal pada 1 Dis..

Batu Sapi mempunyai seramai 32,962 pengundi termasuk 672 anggota tentera dan 1,138 anggota olis.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This