Starlink: Rahmat buat guru di pedalaman, harap pakej subsidi diperkenalkan

Starlink: Rahmat buat guru di pedalaman, harap pakej subsidi diperkenalkan

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

KUALA LUMPUR,. Kebebasan mempunyai akses Internet berkelajuan tinggi tanpa had di kawasan terpencil sememangnya satu rahmat besar kepada seorang guru yang selama lapan tahun terpaksa bergantung kepada capaian Internet terhad yang disediakan oleh sekolahnya.

Muhammad Izzat Afif Hasim, 32, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Long Miri, Sarawak berkata keputusannya membeli peranti Starlink ternyata memberi manfaat kepadanya yang disifatkan jauh lebih baik daripada jumlah wang yang dibelanjakan untuk peranti itu dan komitmen bulanannya.

“Apabila kerajaan umum penjualan Starlink di Malaysia, saya terus buat pesanan. Mahal juga, tetapi itu antara alternatif yang ada. Jadi bagi saya harga itu sangat berbaloi,” katanya kepada BERNAMA.

Muhammad Izzat yang berasal dari Hutan Melintang, Perak mengajar di sekolah berkenaan yang terletak kira-kira empat hingga lima jam perjalanan dari bandar Miri, yang juga sekolah pertamanya sejak mula bertugas lapan tahun lepas.

Selain capaian Internet yang disediakan sekolah itu melalui satelit pada kuota lima gigabait (GB) sebulan dan kelajuan purata hanya 25 megabait sesaat (MBps), Muhammad Izzat berkata tiada cara lain untuk mendapatkan akses Internet berkelajuan tinggi di sekitar kawasan sekolahnya.

“Talian Internet telefon pun cuma dapat setakat 2G sahaja di sini. Bila ada Starlink, Internet mencecah 100 MBps dan kuotanya tanpa had,” katanya dan perkara itu memang benar kerana talian tidak stabil semasa temu bual menerusi telefon dengannya.

Beliau berkata pembelian Starlink yang dibuat melalui rundingan antara kerajaan dengan Elon Musk itu, sekurang-kurangnya meningkatkan tahap kehidupannya menjadi “sama” seperti mereka yang mengajar atau tinggal di bandar.

“Rasa sangat gembira. Dapat kehidupan yang sama dengan orang yang tinggal di bandar. Kalau dulu kami hanya rasa Internet yang pantas apabila keluar ke bandar. Sekarang di pedalaman pun dah rasa kelajuan yang sama seperti di bandar,” katanya.

Pada masa ini, Muhammad Izzat berkata Internet untuk guru-guru perlu dipertimbangkan sebagai keperluan asas kerana kebanyakan kerja memerlukan capaian Internet.

“Banyak (kerja yang memerlukan Internet). Lebih-lebih lagi sekarang semua data banyak yang perlu dimuat naik oleh guru,” katanya sambil mencadangkan kepada kerajaan agar merancang sekurang-kurangnya pakej subsidi untuk pembelian peranti Starlink, jika tidak dapat memberikannya secara percuma.

Turut bersetuju dengan cadangannya, seorang lagi guru Olickson Jack, 27, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Long Sait, agak jauh daripada sekolah tempat Muhammad Izzat bertugas dan hanya boleh menggunakan bot untuk ke sana, berkata beliau pernah menghabiskan hampir RM500 sebulan untuk Internet, sebelum membeli Starlink.

“Saya guna Internet satelit daripada CONNECTme Now dulu. Ada masa saya berbelanja lebih kerana banyak Google Meet diadakan pada bulan berkenaan. Sampai juga RM500. Ia bergantung kepada penggunaan, bukan tanpa had seperti Starlink,” kata Olickson yang mempunyai pengalaman mengajar selama tiga tahun.

Olickson yang berasal dari Pekan Lapok, Tinjar Baram di Miri berkata kerajaan baru-baru ini telah menyediakan guru-guru di kawasan pedalaman dengan kuota 5GB Internet CONNECTme Now, tetapi ia tidak mencukupi.

“Ada juga rakan-rakan apabila dapat tahu saya beli kit ini dan tahu harganya agak tinggi, (mereka) berceloteh seperti ‘tunggu kerajaan buat Starlink Rahmah’. Setakat sekarang ini, Starlink alternatif terbaik yang ada untuk akses Internet di pedalaman, capaiannya lebih stabil dan laju untuk kegunaan kami.

“Rasanya, andai kerajaan beri subsidi kepada pembelian peranti Starlink, ia akan menarik minat ramai lagi pengguna. Bukan cikgu sahaja, masyarakat kampung di sini juga ada memasang impian untuk membeli peranti ini,” katanya.

Muhammad Izzat dan Olickson adalah antara individu pertama menerima peranti Starlink di negara ini dan berkongsi videonya menerusi TikTok dengan masing-masing menerima jumlah tontonan lebih 120,000 hari ini.

Antara lain, netizen yang mengulas tentang kedua-dua video itu berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan kerana memudahkan ketibaan perkhidmatan Starlink di negara ini.

“Lapan bulan usia kerajaan MADANI … alhamdulillah … dapat nikmati hasil usahanya buat rakyat,” tulis nazz zan dalam ruangan komen di video yang dikongsikan Muhammad Faiz menerusi akaun TikTok “Amoi Morni”.

Seorang lagi yang memberikan komen, WantedWatanabe berkata hanya mereka yang memerlukan memahami dan menghargai usaha kerajaan untuk membawa masuk perkhidmatan Internet satelit ke negara ini.

“Yang tak memerlukan, condemn (kutuk) kerana dia tak sedar benda yang tak berguna untuk dia, sangat berguna untuk orang lain,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This