Stesen minyak di Labuan pendekkan operasi

Stesen minyak di Labuan pendekkan operasi

LABUAN,. Waktu operasi enam stesen minyak di pulau bebas cukai ini akan dipendekkan mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, bagi mengekang penularan wabak Covid-19, pengusaha stesen minyak mencadangkan waktu operasi dipendekkan iaitu dari pukul 6 pagi hingga 3 petang.

“Enam pengusaha telah menghantar sepucuk surat kepada jawatankuasa ini pagi tadi, menyatakan pelan waktu operasi perniagaan mereka akan dipendekkan berikutan penularan wabak Covid-19.

“Kami bersetuju dengan kebimbangan mereka terutamanya terhadap pekerja mereka. Jadi kami meluluskan permohonan itu dan ia berkuat kuasa serta merta,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan kepada Bernama.

Labuan mempunyai tiga stesen minyak Petronas iaitu di Saguking, Jalan Pohon Batu dan Durian Tunjong.

Shell pula dua stesen iaitu di Jalan Tun Mustapha dan di pusat bandar serta satu stesen minyak Petron di pusat bandar.

Labuan merekodkan lima kes positif Covid-19 dan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )