Suami isteri ditahan bersama ganja hampir 20kg

Suami isteri ditahan bersama ganja hampir 20kg

ALOR SETAR,. Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis ganja seberat hampir 20 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM50,000 dalam serbuan di Kuala Kedah, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata kedua-duanya yang berusia 33 dan 29 tahun ditahan ketika melakukan kegiatan pengedaran dadah di pekarangan parkir sebuah premis di kawasan berkenaan.

“Sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah menjalankan pemerhatian selama 20 minit sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Saga memasuki kawasan itu.

“Polis menahan lelaki dan wanita itu serta melakukan pemeriksaan sebelum menjumpai dua beg kanvas di atas kerusi penumpang belakang yang mengandungi 20 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat hampir 20kg,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-duanya yang merupakan nelayan dan tukang cuci didapati menggunakan kereta sewa untuk menjalankan kegiatan tersebut bagi mengelak dikesan polis.

Beliau berkata pasangan terbabit yang dipercayai menjadi pengedar sejak setahun lepas mendapat bekalan dadah dari selatan negeri itu sebelum dipasarkan di sekitar Kota Setar.

“Sekiranya dadah ini terlepas di pasaran, ia boleh digunakan oleh 20,000 penagih. Polis turut menyita sebuah kereta jenis Chevrolet dan motosikal jenis Yamaha milik suspek, dengan keseluruhan rampasan dianggar berjumlah lebih RM68,000.

“Suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Saringan urin terhadap kedua-dua suspek juga negatif,” katanya.

Ahmad Shukri berkata pasangan itu direman hingga 11 Sept ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This