Suami isteri ditahan kerana pemerdagangan manusia, lacurkan kanak-kanak

JAKARTA,. Polis Tulangbawang di Lampung, Indonesia menahan sepasang suami isteri kerana mengendalikan sindiket pelacuran kanak-kanak dan pemerdagangan manusia secara dalam talian.

Pasangan dikenali dengan singkatan SU dan SF itu ditahan dalam satu serbuan di rumah sewa mereka di kampung Warga Makmur Jaya di Tulangbawang pada 19 Julai lalu bersama dua pelanggan.

Ketua Polis Tulangbawang, Andy Siswantoro, berkata pihak polis turut merampas wang tunai dan telefon bimbit sebagai bahan bukti.

“Kesemua empat suspek dibawa ke ibu pejabat polis Tulangbawang untuk disoal siasat,” katanya pada satu sidang media.

Tambah beliau, pasangan itu cuba menjual tiga kanak-kanak bawah umur menerusi Facebook.

Difahamkan, SF mengaku menerima upah sehingga Rp100,000 (RM29) bagi setiap transaksi yang boleh mencecah sehingga Rp500,000 (RM145).

“Kami mengiklankan perkhidmatan menerusi Facebook dan mengatur perjumpaan di rumah sewa bagi melakukan transaksi,” katanya.

Menurut pihak polis, pasangan berkenaan boleh dipenjara maksimum 15 tahun jika bersabit kesalahan. – AGENSI

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )