Sudah ada sekatan jalan raya ke Semporna-Tawau

Sudah ada sekatan jalan raya ke Semporna-Tawau

SEMPORNA – Beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mula mengadakan beberapa sekatan jalan raya (SJR) di jalan utama Semporna-Tawau.

Sepanjang perjalanan MalaysiaGazette ke Semporna dari bandar Tawau mendapati terdapat dua SJR dan dua lagi SJR ketika memasuki jalan utama Semporna.

Semua kenderaan yang memasuki Semporna dari Tawau diperiksa oleh pihak berkuasa dan ditanya ke mana destinasi mereka.

Malah setiap kenderaan yang dalam perjalanan ke Tawau dari Semporna turut diperiksa penumpangnya.

“Sekatan dilakukan sejak semalam lagi. Ini sekatan untuk Covid-19,” kata anggota polis yang berkawal di pos sekatan jalan raya itu.

Pondok sekatan itu disertai tiga anggota Rela dan dua anggota polis di setiap SJR.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata, terdapat 398 kes positif Covid-19 di Tawau, 151 kes positif di Lahad Datu, dan satu kes di Sandakan.

CATEGORIES
Share This