Suhaili dilantik Ketua Penaja Bersatu Labuan

LABUAN, 30 Ogos — Bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dilantik sebagai Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan berkuatkuasa serta merta.

Watikah Pelantikan Ketua Penaja PPBM Bahagian P.166 Labuan itu telah disampaikan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disaksikan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad semalam selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Putrajaya.

“Alhamdulillah, saya akhirnya menerima surat itu dan Bersatu secara rasminya ditubuhkan di Labuan dan ia satu keputusan yang telah ditunggu-tunggu oleh ahli Bersatu dan mungkin rakyat di Labuan.

“Kami akan bekerja bersama dengan parti komponen Pakatan Harapan yang lain bagi menyatukan penduduk di Labuan dan memberikan khidmat yang lebih baik dari segi politik, ekonomi dan sosial,” katanya kepada Bernama hari ini.

Suhaili berkata sebagai ketua penaja, beliau bertanggungjawab untuk menguruskan dan melengkapkan proses penubuhan bahagian dan cawangan serta organisasi dan struktur Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) selain membuka keahlian.

Masyarakat di Labuan yang berminat untuk menjadi ahli, boleh mendaftar dengan mengisi borang keahlian yang boleh didapati melalui jawatankuasa penaja atau secara dalam talian melalui laman sesawang Bersatu; www.bersatu.org.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )