Suhu dijangka lebih panas lima tahun akan datang – WHO

Suhu dijangka lebih panas lima tahun akan datang – WHO

GENEVA,. Purata suhu tahunan global mungkin sekurang-kurangnya berada pada satu darjah Celsius di atas paras praindustri dalam tempoh lima tahun akan datang, menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Khamis.

WMO berkata, terdapat kebarangkalian sehingga 20 peratus bahawa perubahan itu akan melebihi 1.5 darjah Celsius melebihi tahap kebiasaan yang secara puratanya antara 1850 hingga 1900 bagi tempoh sekurang-kurangnya satu tahun menurut ramalan iklim tahunan pertubuhan itu untuk lima tahun akan datang.

Tempoh lima tahun terakhir juga adalah lima tahun paling panas dalam rekod, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpusat di Geneva dengan keanggotaan 193 negara.

Suhu dalam lima tahun akan datang iaitu 2020 hingga 2024, kemungkinan besar berada dalam lingkungan 0.91 hingga 1.59 darjah Celcius di atas paras praindustri.

Hampir semua wilayah, kecuali sebahagian lautan selatan, cenderung lebih panas daripada masa lalu yang ditakrifkan sebagai tahun 1981 hingga 2010.

“Kajian ini menunjukkan dengan tahap kemahiran saintifik tertinggi, Perjanjian Paris Mengenai Perubahan Iklim membawa cabaran besar memastikan suhu global dunia kekal di bawah dua darjah Celsius di atas tahap praindustri serta meneruskan usaha untuk mengekang kenaikan suhu lebih jauh kepada 1.5 darjah Celcius,” kata Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas.

Perjanjian Paris 2015 bermatlamat mengekang kenaikan suhu global menerusi usaha pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Bagaimanapun ramalan WMO tidak mengambil kira perubahan gas rumah hijau dan pelepasan aerosol berikutan penutupan kebanyakan aktiviti ekonomi dan industri akibat COVID-19.

Suhu purata bumi ini sudah lebih daripada 1.0 darjah Celcius, sekali gus lebih panas daripada tempoh praindustri, kata WMO.

Melihat tempoh lima tahun antara 2020 hingga 2024, pertubuhan itu mengatakan terdapat kemungkinan sehingga 70 peratus dengan sekurang-kurangnya satu bulan akan menjadi 1.5 darjah Celcius lebih panas daripada tahap praindustri.

Bagaimanapun, hanya ada tiga peratus kemungkinan bahawa keseluruhan tempoh akan menjadi 1.5 darjah Celcius lebih panas daripada tahap asas itu. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This