Sukan BMX makin popular di utara

KUALA PERLIS,. Pernah dilabelkan sebagai aktiviti tidak berfaedah suatu ketika dulu namun persepsi terhadap sukan bicycle motocross atau BMX mulai terhakis apabila salah satu disiplin dalam acara berkenaan dipertandingkan di pentas Olimpik London pada 2012.

Di Malaysia, beberapa kejohanan sukan lasak itu sering dianjurkan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, malah prestasi atlet negara juga tidak kurang hebatnya apabila meraih pingat gangsa di Sukan SEA 2017 dan 2019, serta dipertandingkan di peringkat akar umbi.

Perkembangan positif ini sekali gus meningkatkan populariti sukan berbasikal lasak yang dilihat mendapat tempat tidak kira dalam kalangan remaja mahupun golongan dewasa dan peminat sukan BMX ini mempunyai komuniti tersendiri.

Bagi Mohd Hafiz Harun, 34, melihat kepada kejayaan atlet negara mencipta nama dalam sukan BMX, tidak mustahil ia boleh menarik minat remaja yang terlibat dalam aktiviti berbasikal lajak untuk beralih menceburi sukan ekstrem ini yang boleh dijadikan kerjaya pada masa depan.

Namun, Mohd Hafiz berkata terdapat halangan yang dihadapi oleh golongan remaja berkenaan kerana tidak mempunyai modal besar untuk membeli basikal BMX.

“Halangan yang dihadapi oleh remaja basikal lajak untuk masuk dalam komuniti BMX ialah mereka tidak mempunyai wang cukup untuk membeli basikal BMX yang agak mahal, namun kami sedia bantu mengubah suai basikal mereka agar dapat melakukan aksi seperti basikal BMX,” katanya kepada Bernama.

Mohd Hafiz yang juga anak jati Perlis berkata BMX mula terkenal di negeri itu beberapa tahun kebelakangan ini setelah komuniti BMX Perlis bergabung menganjurkan perhimpunan dikenali sebagai OSBMX Gathering kali kedua di Kuala Perlis pada 24 Okt lepas.

Penjawat awam itu berkata sukan lasak berkenaan menjadi antara sukan diminati masyarakat memandangkan boleh disertai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan latar belakang pekerjaan.

Seorang peniaga dari Sungai Petani Mohd Arif Huzir, 30, memilih BMX sebagai hobi dan berpotensi dalam disiplin flatland kerana baginya aktiviti sukan itu sangat mencabar dan menguji kreativiti peminatnya.

Mohd Arif yang menunggang basikal sejak di bangku sekolah lagi berkata walaupun sibuk dengan rutin sebagai peniaga, dia tetap menghabiskan masa empat hingga lima kali seminggu untuk berlatih.

“Selain berminat untuk memilih sukan ini sebagai hobi, mereka tidak boleh mudah putus asa kerana bukan mudah untuk menguasai gerakan dalam disiplin flatland ini,” katanya.

Bagi peminat cilik berusia 12 tahun, Amirul Akram Mohd Irfan pula, perkara yang menarik minatnya menyertai aktiviti sukan berbasikal lasak itu apabila dia mampu menunjukkan aksi serta kemahiran mengendalikan basikal BMX di hadapan orang ramai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )